
PETALING JAYA – “Seriously (seriuslah)?”
Itu reaksi seorang wanita selepas mendakwa menemukan plaster luka di dalam kuih yang dibelinya dari sebuah gerai di Taman Kota Masai, Johor.
Wanita berkenaan berkata, dia sempat menggigit kuih tersebut sebelum menyedari terdapat benang panjang ketika makanan itu berada di dalam mulutnya.
Menurutnya menerusi perkongsian di Threads menggunakan profil @Ameerare, ketika mengunyah, dia turut terasa sesuatu yang keras sebelum menarik keluar objek berkenaan dan mendapati ia adalah plaster luka.
“Dah sempat tergigit masuk mulut lepas tu nampak ada benang panjang. Sekali kunyah ada benda keras. Tarik keluar rupanya plaster luka. Terus rasa pahit nak termuntah,” katanya.
Wanita itu turut meluahkan rasa kesal terhadap tahap kebersihan ketika penyediaan makanan tersebut dan meminta pihak yang menghasilkan kuih berkenaan lebih peka bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Tolonglah kepada sesiapa yang buat kuih ni jangan selekeh sangat sampai plaster boleh terlepas dari jari pun tak perasan.
“Minta maaf ya, pasti tak akan beli lagi dekat kedai ni,” katanya.
Menjawab pertanyaan pengguna lain mengenai lokasi kedai berkenaan, wanita itu berkata premis terbabit terletak di Taman Kota Masai, namun tidak mendedahkan nama premis berkenaan secara terbuka dalam hantaran tersebut.
Katanya, dia bercadang untuk pergi ke kedai itu bagi memaklumkan kepada pihak berkenaan mengenai penemuan dan kejadian yang didakwa dialaminya.
“Saya cuma akan beritahu yang saya jumpa dan termakan benda asing dalam kuih yang mereka jual.
“Harap-harap selepas ini mereka lebih memperhatikan dan menjaga kebersihan supaya benda yang sama tak terulang kepada orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jijik, wanita terkunyah plaster luka dalam kuih! appeared first on Kosmo Online.



