JIM tumpaskan sindiket penipuan pusat panggilan di Pahang, tahan 98 individu

LocalDigital
6 Oct 2026 • 6:20 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: JIM tumpaskan sindiket penipuan pusat panggilan di Pahang, tahan 98 individu

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penipuan pusat panggilan yang beroperasi di sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang dengan menahan 98 individu.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan telefon selepas menahan 98 individu termasuk 95 warga asing, di pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pada 12.50 tengah hari itu hasil risikan selama kira-kira sebulan, dengan penggunaan pelbagai aset teknologi dimiliki jabatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, pusat panggilan itu dipercayai menjadi lokasi operasi penipuan yang menyasarkan warga negara sindiket berkenaan, walaupun kegiatan dijalankan di luar negara.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 84 lelaki dan empat wanita warga China, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, serta masing-masing seorang wanita warga Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia, dengan kesemua tahanan berusia antara 20 hingga 75 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai pemilik pusat peranginan berkenaan, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang bekerja di situ,” katanya pada sidang media operasi khas di sini hari ini.

Beliau berkata pusat peranginan itu ditutup sejak operasi terakhir pada 2025, namun disewa sindiket berkenaan pada kadar RM30,000 sebulan mulai 10 Jun 2026, dengan pengetahuan pemilik premis.

Zakaria berkata modus operandi sindiket terbabit ialah beroperasi di pusat peranginan terpencil bagi mengaburi pihak berkuasa, selain menggaji tonto warga tempatan bagi memantau pergerakan keluar masuk, dan menggunakan set generator kerana premis itu tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Sindiket memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada pokok dan menggunakan Starlink sebagai talian Internet, bagi mengelak dikesan melalui rangkaian telekomunikasi biasa,” katanya.

Beliau berkata sindiket dipercayai telah beroperasi kira-kira tiga bulan, 24 jam sehari secara syif, dengan setiap ahli mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran masing-masing.

“Berdasarkan rekod dalam pasport yang kita sita, kita dapati mereka juga pernah beroperasi di beberapa negara lain, antaranya Kemboja dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata sindiket dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, termasuk berpindah apabila lokasi operasi tidak lagi selamat.

Dalam operasi itu, JIM menyita 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia, serta satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia, selain 100 telefon bimbit, 120 set komputer, satu CCTV, sembilan bungkus kad SIM belum digunakan, wang tunai RM5,000 dan 11 set peralatan telekomunikasi Starlink.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pemilik pusat peranginan berkenaan ditahan maksimum tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan, manakala kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved