Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Taktik sebuah sindiket penipuan dalam talian (scammers) antarabangsa yang menjadikan sebuah pusat peranginan terpencil di Sungai Lembing, Pahang sebagai pusat panggilan (call centre) terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Isnin lalu.
Lebih mengejutkan, sindiket berkenaan dipercayai sanggup membayar sewa sehingga RM30,000 sebulan bagi menjadikan premis yang telah ditutup sejak tahun lalu itu sebagai markas operasi yang dilengkapi dengan kemudahan capaian Internet berkelajuan tinggi.
Artikel berkaitan: Lepas Isu ‘Scam’ Hartanah, Pelakon & Suami Ditahan Lagi Pasal Kes Penjualan Lembu
Artikel berkaitan: Malu Isteri Terjerat ‘Love Scam’ Hutang RM260K, Lelaki Nekad B*nuh Ahli Keluarga
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan menerusi operasi khas oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM dengan kerjasama JIM Pahang itu dijayakan hasil risikan berterusan selama kira-kira sebulan.
Menurut beliau, seramai 98 individu telah ditahan dalam operasi tersebut, merangkumi 95 warga asing serta tiga warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, 84 lelaki dan empat wanita adalah warga China, seorang lelaki serta seorang wanita Myanmar, masing-masing seorang wanita Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.
Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan itu serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di situ,” katanya.
Beliau menjelaskan, kesemua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan disyaki terlibat secara langsung dalam pengurusan serta operasi harian sindiket berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, pihak berkuasa berjaya merampas 49 pasport warga China, selain masing-masing satu pasport dari Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong, Rusia, serta satu Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) Indonesia.
Turut dirampas ialah 100 unit telefon bimbit, 120 set komputer, sebuah sistem kamera litar tertutup (CCTV), sembilan bungkusan kad SIM yang belum digunakan, wang tunai berjumlah RM5,000, serta 11 set peralatan telekomunikasi Starlink.
Menurut Zakaria, penggunaan kemudahan Internet satelit Starlink dipercayai bertujuan mengelak daripada dikesan menerusi rangkaian telekomunikasi tempatan.
“Pusat peranginan ini sebenarnya sudah ditutup dan mengikut rekod, kali terakhir ia beroperasi adalah pada 2025.
Lokasinya agak terpencil dan sindiket ini turut menggunakan individu tertentu sebagai tonto untuk memantau sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan itu,” tambah beliau.
Siasatan awal pihak polis dan imigresen mendapati sindiket tersebut mengamalkan modus operandi berpindah-randah dari satu negara ke negara lain bagi mengelakkan kegiatan haram mereka dihidu oleh pihak berkuasa.
Pusat panggilan berkenaan dipercayai beroperasi secara berterusan selama 24 jam mengikut sistem syif dan telah beroperasi di lokasi terbabit sejak sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.
Kesemua warga asing dan tempatan yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama atas kesalahan tinggal lebih masa.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






