
SHAH ALAM, 6 OKT: Sebuah pusat peranginan terbiar di Sungai Lembing, Kuantan yang dipercayai dijadikan markas sindiket scam antarabangsa diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Isnin lalu.
Dalam operasi itu, seramai 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan, termasuk pemilik premis berkenaan, lapor Kosmo!.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan di Jalan Sungai Arang itu dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen bersama Jabatan Imigresen Pahang selepas kira-kira sebulan risikan.
Menurutnya, premis berkenaan yang tidak lagi beroperasi sejak 2025 dipercayai disewa kira-kira RM30,000 sebulan dan digunakan sebagai pusat operasi sindiket sejak tiga bulan lalu.
“Mereka dipercayai menjalankan operasi selama 24 jam secara syif dan menggunakan pelbagai kemudahan telekomunikasi untuk menjalankan kegiatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara yang ditahan ialah warga China, Myanmar, Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia berusia antara 20 hingga 75 tahun.
JIM turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan itu serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang bekerja di premis berkenaan.
Pemeriksaan menemukan 100 telefon bimbit, 120 set komputer, satu sistem kamera litar tertutup (CCTV), sembilan bungkusan kad SIM, wang tunai RM5,000 dan 11 set peralatan Starlink.
Turut dirampas ialah 49 pasport China serta beberapa pasport negara lain dan satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia.
Zakaria berkata lokasi premis yang terpencil dipercayai dipilih bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain sindiket menggunakan tonto untuk memantau pergerakan keluar masuk kawasan berkenaan.
Siasatan awal turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai berpindah-randah antara negara bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.
“Berdasarkan rekod dalam pasport yang dirampas, terdapat bukti menunjukkan mereka pernah berada dan beroperasi di beberapa negara lain termasuk Kemboja dan Vietnam.
“Modus operandi mereka ialah beroperasi di sesebuah negara dalam tempoh tertentu sebelum berpindah ke negara lain,” katanya.
Beliau berkata penggunaan Starlink dipercayai bertujuan mengurangkan jejak operasi menerusi rangkaian telekomunikasi tempatan.
Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tiga warga tempatan pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.






