
PUTRAJAYA- Taktik licik sindiket ‘scammer’ antarabangsa yang menjadikan sebuah pusat peranginan yang telah ditutup sejak setahun lalu sebagai pusat panggilan untuk memperdaya mangsa terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, Isnin lalu.
Lebih mengejutkan, sindiket sanggup menyewa premis berkenaan sekitar RM30,000 sebulan dan menjadikan ia sebagai markas utama sindiket lengkap dengan pelbagai kemudahan internet.
Selepas tiga bulan beroperasi, premis
di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Kuantan Pahang itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Isnin lalu menerusi operasi khas hasil risikan selama kira-kira sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Pahang.
Beliau berkata, seramai 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan termasuk pemilik pusat peranginan itu.
“Daripada jumlah itu, 84 lelaki dan empat wanita warga China, seorang lelaki serta seorang wanita Myanmar selain seorang wanita Indonesia, seorang wanita Hong Kong, seorang wanita Vietnam, seorang wanita Kemboja dan seorang wanita Rusia.
“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan tersebut serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di situ,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan dipercayai terlibat dalam operasi sindiket berkenaan.
Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia selain satu Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) Indonesia.
Menurutnya, turut dirampas ialah 100 telefon bimbit, 120 set komputer, satu sistem kamera litar tertutup (CCTV), sembilan bungkusan kad SIM yang belum digunakan, wang tunai RM5,000 serta 11 set peralatan telekomunikasi Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian internet.
“Pusat peranginan ini sebenarnya sudah ditutup. Mengikut rekod yang kita peroleh, kali terakhir ia beroperasi ialah pada tahun 2025.
“Lokasinya agak terpencil dan sindiket ini turut menggunakan individu tertentu sebagai tonto untuk memantau sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan tersebut,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
“Berdasarkan rekod dalam pasport yang dirampas, terdapat bukti menunjukkan mereka pernah berada dan beroperasi di beberapa negara lain termasuk Kemboja dan Vietnam.
“Modus operandi mereka ialah beroperasi di sesebuah negara dalam tempoh tertentu sebelum berpindah ke negara lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya.
Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan operasi secara berterusan selama 24 jam dengan sistem syif tertentu dan telah beroperasi di lokasi terbabit sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Beliau berkata, pihaknya percaya premis tersebut dijadikan pusat operasi scam berdasarkan peralatan yang dirampas serta corak operasi yang dikesan sepanjang risikan dijalankan.
Mengulas penggunaan Starlink, beliau berkata, internet satelit itu dipercayai digunakan bagi mengelak pengesanan melalui rangkaian telekomunikasi tempatan.
“Starlink menggunakan sambungan satelit dan tidak bergantung kepada rangkaian telekomunikasi biasa. Itu antara modus operandi yang kita percaya digunakan sindiket ini,” katanya.
Jelasnya lagi, 42 lelaki dan dua wanita warga China, seorang lelaki dan seorang wanita Myanmar serta masing-masing seorang wanita Hong Kong dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, 41 lelaki dan tiga wanita warga China serta seorang wanita Rusia pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama, manakala seorang lelaki warga China dan seorang wanita Kemboja disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Seramai dua lelaki dan seorang wanita tempatan pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Resort gelap markas scammer 24 jam di Sungai Lembing appeared first on Kosmo Online.






