
PETALING JAYA – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap 12 anggota polis yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan membabitkan seorang warga asing dengan nilai RM2 juta.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, tindakan itu selari dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Siasatan JIPS memberi tumpuan terhadap aspek integriti sekiranya wujud pelanggaran tatakelakuan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, JIPS turut meneliti elemen kelemahan penyeliaan dan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa, pelanggaran etika atau salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas tindakan lanjut terhadap anggota terbabit, Aida berkata, keputusan untuk tahan kerja akan dipertimbangkan berdasarkan perkembangan siasatan selaras dengan peruntukan peraturan yang berkuat kuasa.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas yang diambil termasuk penahanan dan siasatan terhadap anggota terbabit menunjukkan komitmen pasukan itu dalam memastikan integriti terus dipelihara.
Semalam media melaporkan seramai 12 pegawai dan anggota ditahan selepas disyaki terlibat kes pemerasa seorang warga asing sebanyak RM2 juta.
Menurut sumber, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat bayaran berjumlah RM560,000. – KOSMO! ONLINE
The post JIPS siasat kes 12 polis disyaki peras ugut RM2 juta appeared first on Kosmo Digital.






