Malaysia transit sindiket dadah Eropah

4 Sep 2026 • 2:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia transit sindiket dadah Eropah

SEREMBAN: Kegiatan sindiket penyeludupan dadah menjadikan Malaysia sebagai laluan transit untuk menghantar bahan terlarang itu ke pasaran antarabangsa, khususnya Eropah, semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Amran Ahmad berkata, hasil risikan mendapati dadah dari Sepanyol dan Belanda dibawa masuk ke Malaysia sebelum dihantar ke destinasi lain di Eropah.

Menurutnya, tindakan sindiket menjadikan Malaysia sebagai negara transit dipercayai bertujuan mengelirukan pihak berkuasa sebelum dadah berkenaan dihantar ke negara lain.

“Kenapa hantar ke sini dulu sebelum ke sana? Itu untuk mengelirukan pihak berkuasa. Mereka cuba menyembunyikan kegiatan supaya tidak menimbulkan syak wasangka. Kami memang memandang serius perkara ini.

“Mereka mahu menjadikan negara ini sebagai transit atau pasaran dadah antarabangsa. Kami sentiasa akan membanteras berdasarkan maklumat yang kami ada dan bekerjasama dengan agensi-agensi negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar JKDM Tumpaskan Pengedaran Dadah Membabitkan Sitaan 722.9 Kilogram Dadah Bernilai RM42.82 Juta di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM, Nilai, di sini hari ini.

Amran berkata, sepanjang Julai lalu, pihaknya berjaya menumpaskan empat kes penyeludupan membabitkan pelbagai jenis dadah seberat 722.9 kilogram (kg) bernilai RM42.82 juta.

Katanya, empat individu ditangkap terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Vietnam berusia antara 30 hingga 40 tahun, dan kesemua mereka telah didakwa di mahkamah.

“Bagi kes pertama pada 7 Julai lalu, JKDM merampas 51.4 kg kanabis bud bernilai kira-kira RM4.11 juta dalam pemeriksaan di sebuah gudang di Meru, Klang.

“Pada 8 Julai, sebanyak 160.6 kg kanabis bud bernilai RM12.84 juta pula dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Botanik, Klang serta menahan seorang lelaki warga Vietnam,” katanya.

Bagi kes ketiga pada 9 Julai lalu, beliau berkata, pihaknya merampas 3.3 kg MDMA dan dua kg methamphetamine bernilai RM587,500 selain menahan dua suspek warga tempatan di Ampang, Selangor selepas menjalankan pemantauan khas terhadap sebuah kotak bungkusan di Pos Malaysia Hub Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Katanya, pemeriksaan lanjut berdasarkan alamat pada dokumen penghantaran itu turut membawa kepada penahanan empat lagi suspek warga asing yang kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

“Dadah dipercayai disembunyikan dalam ruangan khas beg tangan yang diisytiharkan sebagai beg tangan kulit,” katanya.

Sementara itu, pada 21 Julai lalu, Amran berkata, sebanyak 505.6 kg ketamin bernilai RM25.28 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, dadah berkenaan ditemukan dalam 119 bungkusan yang disembunyikan di dalam kotak dagangan bersama bungkusan koko, sekali gus membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan.

Beliau berkata, keempat-empat kes berkenaan dipercayai membabitkan sindiket berbeza, manakala modus operandi yang digunakan masih sama seperti yang pernah dikesan sebelum ini.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. –UTUSAN

The post Malaysia transit sindiket dadah Eropah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved