JKM cari waris Afifah Hilya Nafisah

LocalFamily & Parenting
12 Jun 2026 • 5:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JKM cari waris Afifah Hilya Nafisah
JKM Pulau Pinang mencari waris atau ibu kandung kanak-kanak warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa dera fizikal.

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia yang kini berada dalam jagaan institusi kebajikan selepas disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal.

Kanak-kanak berkenaan, Afifah Hilya Nafisah dilahirkan pada 17 Julai 2020 dan kini berusia enam tahun berada di bawah jagaan JKM sejak 8 Mac 2023.

Menurut JKM, usaha mengesan ibu kandung kanak-kanak terbabit masih belum berhasil walaupun hebahan pencarian waris telah dibuat sebelum ini iaitu pada 10 Mac 2023.

“Ibu kandung kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Ida Rohana, seorang warganegara Indonesia dengan nombor pasport AT866925 manakala maklumat bapa kandung tidak diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

JKM berkata, penempatan kanak-kanak itu di institusi kebajikan merupakan langkah sementara dan pilihan terakhir sementara menunggu penyelesaian terbaik demi kebajikan serta masa depannya.

“JKM sentiasa mengutamakan penjagaan kanak-kanak dalam persekitaran kekeluargaan yang selamat dan stabil.

"Sehubungan itu, ibu kandung atau mana-mana ahli keluarga yang mempunyai pertalian dengan kanak-kanak berkenaan diminta tampil menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah bagi membantu proses penilaian serta perancangan penempatan jangka panjang," ujarnya.

Menurut JKM lagi, waris boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah di Tingkat 2, Wisma Hock Teik, No 1778, Jalan Ciku, Bukit Mertajam atau menghubungi Pelindung, Norhasliza Abdullah di talian 04-5382584 / 04-5385705 atau e-mel norhasliza_a@jkm.gov.my.

"Sekiranya ibu kandung atau waris tidak berhasrat atau tidak berkeupayaan mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak itu, perkara tersebut perlu dimaklumkan secara rasmi bagi membolehkan proses penempatan kekal yang bersesuaian dirancang.

"Ini merupakan siaran media kali kedua dikeluarkan JKM bagi tujuan pencarian waris kanak-kanak terbabit," tambahnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved