BUKIT MERTAJAM - Masjid Pekan Permatang Pauh menjadi lokasi himpunan umat Islam dalam Program Arafah Quran Hour Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 26 Mei ini yang mengetengahkan penghayatan al-Quran serta tadabbur ayat suci sempena Hari Arafah.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, program anjuran bersama Rumah Ngaji Pulau Pinang dan Jawatankuasa Masjid Pekan Permatang Pauh itu dijadual berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di masjid berkenaan.
Menurutnya, majlis tersebut akan menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi menghayati pengisian al-Quran serta memperkukuh amalan tadabbur dalam kehidupan seharian.
"Atur cara program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan ketibaan peserta serta pendaftaran dan sarapan pagi sebelum ketibaan tetamu kehormat pada jam 8.45 pagi.
"Majlis rasmi akan bermula pada jam 9.15 pagi dengan dihadiri Imam Masjid Pekan Permatang Pauh, Mohd Syamil Zabidi Al Hafiz, Pengerusi Masjid Pekan Permatang Pauh, Arif Alwi Sulaiman Arif dan Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taupek Abd Rahman.
"Perasmian program pula akan disempurnakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Zaiton, program akan diserikan bacaan surah oleh qari jemputan, Muhammad Yusof Zulkifli yang akan membaca surah al-Fatihah, al-Baqarah ayat satu hingga lima serta surah al-Muzzammil.
"Turut diadakan sesi tadabbur surah al-Muzzammil ayat 20 dan surah al-Hajj yang akan disampaikan oleh mufti sendiri," ujarnya.






