KEPALA BATAS - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi lelaki yang dipercayai ditinggalkan sejurus dilahirkan di sebuah rumah di Taman Seri Relau, Bayan Lepas pada 21 April lalu.
JKM Seberang Perai Utara (SPU) dalam satu kenyataan memaklumkan, bayi berkenaan dipercayai dilahirkan kira-kira jam 8 pagi sebelum ditinggalkan kepada seorang rakan yang merupakan warga Indonesia.
"Hasil siasatan Pelindung Kanak-Kanak SPU mendapati ibu kandung bayi berkenaan dikenali sebagai Siti Kuntama dan merupakan warganegara Indonesia.
"Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada maklumat lanjut diperoleh berhubung identiti serta lokasi terkini ibu kandung berkenaan," katanya pada Jumaat.
Sehubungan itu, JKM memohon orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris bayi terbabit supaya tampil membantu siasatan.
“Waris atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak SPU, Norpatin Bakar di talian 04-5758715 atau 04-5758716.
“Maklumat juga boleh disalurkan melalui emel di norpatin@jkm.gov.my,” ujarnya lagi.





