TRAGEDI membabitkan seorang ibu muda yang mengaku bersalah mencampakkan bayi yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematian bukan sahaja mengundang kesedihan dan kemarahan masyarakat.
Malah, ia secara tidak langsung juga membuka ruang kepada anggapan realiti yang mungkin dihadapi sesetengah individu ketika berdepan tekanan hidup.
Meskipun proses perundangan akan menentukan aspek tanggungjawab terhadap perbuatan tersebut, insiden itu bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai keadaan yang boleh mendorong seseorang bertindak di luar kewarasan dan pertimbangan biasa.
Dalam banyak keadaan, individu yang berdepan tekanan emosi, masalah keluarga, kesempitan hidup atau konflik peribadi sering memilih untuk memendam masalah tanpa mendapatkan bantuan daripada orang sekeliling.
Lebih membimbangkan apabila mereka merasakan tiada tempat untuk mengadu, takut dihukum atau malu untuk berkongsi kesukaran yang sedang dihadapi.
Keadaan sedemikian boleh menyebabkan seseorang berasa terasing dan hilang arah dalam membuat keputusan, terutama ketika berhadapan situasi yang dianggap terlalu berat untuk ditanggung bersendirian.
Tragedi itu juga mengingatkan masyarakat bahawa tidak semua individu yang kelihatan tenang sebenarnya berada dalam keadaan baik.
Ada yang memilih untuk menyembunyikan kesedihan, ketakutan dan tekanan sehingga ia menjadi beban yang sukar dikawal.
Oleh yang demikian, sikap saling mengambil berat dalam kalangan ahli keluarga, rakan dan komuniti perlu terus dipupuk bagi memastikan individu yang sedang berdepan kesukaran tidak dibiarkan berjuang bersendirian.
Kadangkala, pertanyaan yang ringkas, kesediaan untuk mendengar atau usaha menghulurkan bantuan boleh memberi makna besar kepada seseorang yang sedang melalui detik sukar dalam hidup.
Masyarakat juga perlu mengelakkan budaya terus menghukum atau membuat andaian terhadap individu yang sedang berdepan masalah tanpa mengetahui keadaan dialami mereka.
Dalam masa sama, kesedaran mengenai kepentingan sokongan emosi dan kesejahteraan mental perlu terus diperkasa agar setiap individu memahami bahawa mendapatkan bantuan ketika menghadapi masalah bukanlah satu kelemahan.
Apa yang berlaku tidak seharusnya sekadar menjadi tajuk berita yang dilupakan selepas beberapa hari, sebaliknya dijadikan pengajaran bahawa keprihatinan, empati dan sikap saling membantu boleh menjadi benteng penting dalam mencegah tragedi memilukan di masa hadapan.





