JKM pastikan OKU tidak terpinggir di PPS

LocalHealth & Fitness
15 Sep 2026 • 2:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: JKM pastikan OKU tidak terpinggir di PPS

SEBERANG PERAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perhatian terhadap keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam memperkemas kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) menjelang musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan kebajikan semua mangsa bencana, termasuk golongan yang memerlukan bantuan dan kemudahan khusus terus terpelihara ketika ditempatkan di PPS.

Menurutnya, OKU mempunyai keperluan berbeza mengikut kategori, termasuk keperluan menyediakan ruang tertentu bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan serta khidmat jurubahasa untuk individu yang mempunyai masalah pendengaran.

“Golongan OKU misalnya, mereka juga minta supaya hak-hak mereka juga diberi perhatian di PPS dan mereka ini banyak kategori, ada OKU penglihatan, pendengaran.

“Kalau boleh mereka minta yang pendengarannya ada jurubahasa, kemudian ada ruang-ruang untuk mereka yang masalah penglihatan dan sebagainya.

“Itu yang kita beri perhatian dan sebab itu saya katakan dari segi persiapan JKM sentiasa menambah baik, apa sahaja keperluan-keperluan untuk semua golongan termasuk juga bagi mereka yang sakit terlantar dan sebagainya, supaya kebajikan terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS Peringkat Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Sungai Jawi, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Murad berkata, aspek logistik turut menjadi keutamaan JKM bagi memastikan bekalan di depoh bencana mencukupi untuk menampung keperluan mangsa dalam tempoh awal selepas sesuatu bencana berlaku.

Jelasnya, stok bekalan disediakan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari sementara menunggu bantuan tambahan daripada agensi berkaitan.

Katanya, latihan simulasi pengurusan PPS yang dilaksanakan setiap tahun juga penting bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi berkaitan, selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tindakan yang perlu dilakukan ketika berlaku bencana.

Mengenai kawasan yang diberi perhatian menjelang musim tengkujuh, beliau berkata, JKM sentiasa mengikuti perkembangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, terutama membabitkan negeri yang dikenal pasti berdepan risiko banjir lebih tinggi.

“Contohnya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, dari segi yang kita kenal pasti itu berisiko banjir memang kita sentiasa bersedia dan selain stok di depoh bekalan bencana, JKM turut memastikan 6,000 sukarelawan kita sentiasa diberikan latihan amal bagi membolehkan mereka digerakkan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 9,000 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara bagi tujuan penempatan mangsa sekiranya berlaku bencana.

Bagaimanapun, katanya, semua PPS berkenaan tidak perlu diaktifkan pada masa sama kerana kejadian banjir lazimnya hanya melibatkan negeri atau kawasan tertentu pada satu-satu masa. -KOSMO! ONLINE

The post JKM pastikan OKU tidak terpinggir di PPS appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved