JKM tambah baik PPS, beri perhatian kemudahan OKU

15 Sep 2026 • 2:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JKM tambah baik PPS, beri perhatian kemudahan OKU

NIBONG TEBAL : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat beberapa penambahbaikan terhadap kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi dengan memberi perhatian kepada keperluan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, berbanding orang biasa, OKU mempunyai keperluan berbeza mengikut kategori termasuk keperluan ruang khusus bagi yang mempunyai masalah penglihatan serta khidmat jurubahasa untuk OKU bermasalah pendengaran.

“Mereka (OKU) minta supaya hak-hak mereka ini diberi perhatian di PPS. Dari segi persiapan, JKM sentiasa menambah baik. Apa sahaja keperluan untuk semua golongan termasuk mereka yang terlantar sakit dan sebagainya, kita jaga,” katanya selepas merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS Peringkat Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Sungai Jawi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 9,000 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara bagi tujuan penempatan mangsa banjir, namun, PPS berkenaan hanya akan diaktifkan apabila perlu sahaja kerana bencana itu kebiasaannya tidak berlaku serentak.

Katanya, pada masa yang sama, JKM akan turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam pengurusan pusat pemindahan tetap bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana tersebut.

“Kita ada 18 pusat pemindahan tetap yang dikendalikan oleh Nadma. Dari segi penugasan pula, ia sama sahaja dengan JKM dan kerajaan sentiasa berusaha menambah pusat pemindahan tetap di lokasi yang difikirkan sesuai mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” katanya.

Che Murad berkata, aspek logistik turut menjadi keutamaan JKM bagi memastikan bekalan di depoh bencana mencukupi untuk menampung keperluan mangsa dalam tempoh awal selepas sesuatu bencana berlaku.

Menurutnya, stok bekalan disediakan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari sementara menunggu bantuan tambahan daripada agensi berkaitan.

Sehubungan itu katanya, latihan simulasi pengurusan PPS yang dilaksanakan setiap tahun adalah penting bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi berkaitan, selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tindakan yang perlu dilakukan ketika berlaku bencana. – UTUSAN

The post JKM tambah baik PPS, beri perhatian kemudahan OKU appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved