Warga emas derita scleroderma perlu telan 30 biji ubat sehari

LocalHealth & Fitness
31 Aug 2026 • 9:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Warga emas derita scleroderma perlu telan 30 biji ubat sehari

TAMPIN: Seorang wanita warga emas yang menghidap scleroderma, sejenis penyakit autoimun yang jarang berlaku, kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tidak lagi mampu bekerja akibat penyakit berkenaan.

Endotek Ambok, 72, berkata, dia disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan fizikal pada Januari lalu sebelum mula menerima bantuan JKM sebanyak RM600 sebulan pada Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah bantuan itu tidak mencukupi untuk menampung kos berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Melaka yang perlu dilakukannya dua hingga tiga kali sebulan.

“Sekali pergi, tambang e-hailing sekitar RM90 hingga lebih RM100 untuk perjalanan sehala. Kalau pergi dua atau tiga kali sebulan, kos pengangkutan sahaja boleh mencecah kira-kira RM500.

“Itu belum termasuk tambang balik, makan dan keperluan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Ulu Air Kuning Selatan, di sini semalam.

Endotek berkata, dia ada kalanya terpaksa meminta bantuan kenalan dan anak saudara untuk menghantarnya ke hospital, selain menggunakan perkhidmatan e-hailing apabila tiada sesiapa yang dapat membantunya.

“Semua wang simpanan saya sudah habis digunakan untuk menampung kos rawatan.

“Saya tidak mempunyai anak dan RM600 itu digunakan untuk makan, bil utiliti serta kos ke hospital. Memang tidak mencukupi, tetapi saya bersyukur kerana masih menerima bantuan,” katanya.

Endotek berkata, dia disahkan menghidap scleroderma pada 2006 selepas mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Menurutnya, penyakit berkenaan menyebabkan kulitnya menjadi keras dan tegang selain menjejaskan sendi, jari serta pergerakannya.

“Keadaan ini menyebabkan saya sukar melakukan kerja harian termasuk memasak dan saya perlu mengambil lebih 30 biji ubat setiap hari.

“Dulu berat badan saya 96 kilogram (kg), sekarang tinggal kira-kira 42kg kerana selera makan semakin berkurangan.

“Saya juga hanya boleh makan makanan lembut seperti sup dan bubur kerana keadaan mulut dan gigi menyukarkan saya mengunyah makanan keras,” katanya.

Endotek yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Air Kuning berkata, beliau sebelum ini turut aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain pernah bekerja sebagai pemandu pelancong.

Katanya, keadaan kesihatan yang semakin merosot menyebabkan dia terpaksa menghentikan aktiviti berkenaan dan kini tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain dan selagi mampu, saya cuba uruskan diri sendiri. Namun, saya memerlukan bantuan terutama untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana sudah tidak mempunyai kenderaan.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan kos rawatan dan pengangkutan saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Bank milik cucu saudaranya, Nurul Syafiqah Huzaimi bernombor 7645048820. – UTUSAN

The post Warga emas derita scleroderma perlu telan 30 biji ubat sehari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved