KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa jabatan kerajaan itu telah membayar RM16,363,193.70 kepada Nepturis Sdn Bhd pada 2022 dan 2023.
Lokman Nasir, 62, yang bersara pada 19 April 2024 lalu berkata demikian ketika perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-23 berkata, lapan transaksi itu dibuat bagi Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor dengan harga kontrak berjumlah RM141 juta.
“Saya sahkan projek ini di bawah Kementerian Dalam Negeri dan sumber kewangan bagi projek ini adalah daripada Kementerian Dalam Negeri
“Selain itu, terdapat beberapa pembayaran lain yang masih dalam proses atau belum dilaksanakan pada waktu tersebut,” katanya berdasarkan pernyataan saksi.
Beliau mengesahkan, berdasarkan dokumen baucar bayaran itu, ia telah dibuat ke akaun Maybank Islamic Berhad syarikat pembinaan berkenaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai ketidakpatuhan dalam pembayaran, saksi itu berkata, perkataan tersebut merujuk kepada sebarang perlanggaran dalam kontrak.
Pendakwa Raya: Dalam kes ini, ada atau tidak ketidakpatuhan pembayaran?
Lokman: Setakat ini tiada.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memberitahu pihaknya mahu membuat pindaan terhadap pertuduhan keempat bagi kes rasuah iaitu dengan menambah nama syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd.
Mahkamah membenarkan pindaan tersebut setelah permohonan berkenaan tidak dibantah oleh pembelaan.
Selain Lokman, turut hadir memberi keterangan di mahkamah ialah SP-24, bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan JKR, Zulkipeli Yamat.
Pada prosiding sebelum ini, ahli perniagaan, Lian Tan Chuan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta Pengarah Urusan Nepturis, Mohd Rizman Akum Khan menyediakan cek berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada Bersatu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51, dan empat syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Selasa.



