
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa kerajaan telah menjelaskan bayaran RM16.4 juta kepada Nepturis Sdn Bhd bagi projek IPD Klang Utara dalam perbicaraan kes Jana Wibawa membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM16.4 juta kepada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Lokman Nasir, 62, berkata bayaran bagi nilai kontrak bernilai RM141 juta itu dilakukan melalui lapan transaksi antara 17 Mei 2022 hingga 3 Feb 2023.
Saksi pendakwaan ke-23 itu mengesahkan perkara tersebut selepas dirujuk dengan Baucar Bayaran Kerajaan Malaysia ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
“Saya sahkan ini adalah dokumen Baucar Bayaran Kerajaan Malaysia Arahan Pembayaran Daripada kumpulan PTJ (pusat tanggungjawab) Negeri Selangor, JKR kepada Nepturis Sdn Bhd. Saya sahkan tujuan bayaran ini dibuat bagi perihal bayaran Projek Membina Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.
“Berdasarkan baucar bayaran ini, saya sahkan bahawa bayaran telah dibuat ke akaun Maybank Islamic Berhad Nepturis,” katanya dalam pernyataan saksi.
Pada prosiding sebelum ini, seorang ahli perniagaan, Lian Tan Chuan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta Pengarah Urusan Nepturis Mohd Rizman Akum Khan menyediakan cek berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada Bersatu.
Lokman, yang bersara pada April lepas, turut mengesahkan bahawa projek IPD Klang Utara adalah di bawah bidang kuasa serta sumber kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Selain itu, terdapat beberapa pembayaran lain, yang masih dalam proses atau belum dilaksanakan pada waktu berkenaan,” katanya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai prosedur pembayaran, Lokman mengesahkan tiada sebarang ketidakpatuhan dikesan dalam proses transaksi oleh kerajaan ketika itu.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-24, Datuk Zulkipeli Yamat memberitahu mahkamah bahawa kerajaan turut bersetuju menerima tawaran tender bernilai RM605.2 juta daripada Sutracom Sdn Bhd bagi projek membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3.
Zulkipeli, yang merupakan bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan JKR turut mengesahkan Surat Setuju Terima bagi kontrak berkenaan yang perlu ditandatangani oleh pihak kerajaan dan syarikat Sutracom.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan keempat dengan memasukkan nama syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, selepas pihak pembelaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.





