Pantai Padang Garam bakal jadi lokasi tetap Kedah Surfcasting Challenge

3 May 2026 • 11:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pantai Padang Garam bakal jadi lokasi tetap Kedah Surfcasting Challenge
Mohd Salleh (empat dari kiri) bergambar bersama pemenang Kedah Surfcasting Challenge pada Sabtu.
Image from: Pantai Padang Garam bakal jadi lokasi tetap Kedah Surfcasting Challenge
Sebahagian peserta Kedah Surfcasting Challenge di Pantai Padang Garam pada Sabtu.

ALOR SETAR – Pantai Padang Garam berpotensi diangkat sebagai lokasi tetap penganjuran pertandingan memancing di Kedah susulan sambutan luar jangkaan dan hasil tangkapan memberangsangkan pada Kedah Surfcasting Challenge.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kejayaan edisi sulung itu membuktikan potensi besar pantai berkenaan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha menjadikan Pantai Padang Garam sebagai lokasi tahunan pertandingan memancing.

“Sambutan bagi acara sulung ini sangat menggalakkan dengan lebih 700 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian.

“Ini satu kejayaan dari segi pelancongan apabila kehadiran peserta bukan sahaja memeriahkan acara, malah meningkatkan perbelanjaan domestik serta memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan,” katanya ketika menyampaikan hadiah pertandingan itu di sini pada Sabtu.

Dalam pertandingan yang berlangsung dalam cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius itu, Azim Omar, 54, dari Manjung, Perak muncul juara selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 2.24 kilogram (kg) pada jam 12.30 tengah hari.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM25,000.

**media[3509269]**

Tempat kedua dimenangi Anuar Mohamad, 38, dari Alor Setar dengan tangkapan belukang seberat 1.860kg pada jam 1.19 tengah hari, sekali gus membawa pulang RM5,000.

Hafiza Che Yusof, 37, dari Perlis pula menduduki tempat ketiga selepas menaikkan ikan seberat 1.820kg dan menerima RM2,000.

Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri Penghulu Kuala Kedah, Salleh Mahmud; Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar, Basir Ahmad serta Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Pertandingan yang dianjurkan bagi merancakkan sektor pelancongan negeri itu merupakan acara pertama diadakan di Pantai Padang Garam yang telah dinaik taraf sejak dua tahun lalu.

Ia juga selari dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, lebih 70 peniaga tempatan turut mengambil peluang menjalankan perniagaan sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat.