
Negeri Johor dianggarkan kini mempunyai lebih dari 50 ke 60 projek pusat data yang telah diluluskan untuk pembangunan, dan kira-kira 20 daripadanya sedang dibangunkan sekarang.
Terkini, pihak YTL Power telah mengeluarkan kenyataan bahawa anak syarikat mereka, SIPP Power Sdn Bhd dan JLG Technopark Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat JLand Group telah bekerjasama untuk membangunkan pusat data baharu di Sedenak Tech Park West (STeP) di Johor dengan skala penggunaan tenaga elektrik tahap Gigawatt (1000 Megawatt).
Melalui kerjasama ini, SIPP Power akan membeli 145 ekar tanah di STeP West dengan pilihan untuk membeli 400 ekar tanah lagi untuk tujuan untuk memperluaskan lagi kawasan pusat data tersebut. Jika diperluaskan pada saiz maksima 545 ekar, ini akan menjadikan YTL Power sebagai salah satu syarikat pengelola pusat data terbesar bukan sahaja di Johor, tetapi juga di Malaysia, dan menjadikan Johor sebagai salah satu lokasi pusat data yang terbesar di Asia Tenggara.
STeP merupakan salah satu kawasan pembangunan teknologi dalam daerah perindustrian teknologi Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang diperkenalkan pada tahun lepas, yang merupakan kawasan perindustrian teknologi dengan saiz tanah 7290 ekar di Sedenak, Johor.
Kampus pusat data Gigawatt YTL di STeP West di Sedenak dijangka boleh beroperasi pada tahap penggunaan kuasa setinggi 1.2Gigawatt apabila beroperasi sepenuhnya kelak dan akan menjadi pelengkap kepada pusat data YTL Green Data Centre Park yang kini sedang beroperasi di Kulai. Pusat data tersebut kini sedang beroperasi pada kapasiti 600MW dan akan ditingkatkan ke 1GW secara berperingkat.
Buat masa ini, pihak YTL Power dan belum mengesahkan lagi bilakah pusat data STeP West ini akan disiapkan dan mula beroperasi.





