JMR x XPEL : Kolaborasi Premium Harungi Musim Perlumbaan 2026

SportsCars
14 Jan 2026 • 8:29 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available
Foto: JMR Johor Racing


Pemeteraian kerjasama strategik antara Johor Motorsports Racing (JMR) dan XPEL bagi musim 2026 menandakan langkah besar dalam memperkukuh kedudukan pasukan itu di persada sukan permotoran Asia.

XPEL dinaik taraf sebagai rakan rasmi Johor Motorsports Racing (JMR) untuk keseluruhan musim 2026, susulan kejayaan podium pasukan tersebut di Suzuka 1000 pada tahun lepas. Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama terhadap ketepatan, prestasi dan kesempurnaan.

YAM Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor menyifatkan XPEL sebagai rakan ideal untuk mengekalkan daya saing di perlumbaan peringkat antarabangsa, khususnya Intercontinental GT Challenge (IGTC) dan Asian Le Mans Series 2026 susulan kejayaan podium di Suzuka.

“XPEL telah lama saya gunakan pada semua kenderaan peribadi saya. Dalam perlumbaan endurance, perlindungan dan ketahanan kereta adalah kritikal dan XPEL memenuhi keperluan itu sepenuhnya,” ujar YAM Tunku Panglima Johor.

XPEL menyifatkan Asia sebagai pasaran strategik yang pesat berkembang, dengan kerjasama bersama JMR menjadi platform utama untuk membuktikan ketahanan produk filem perlindungan dan salutan premium mereka. Chris West selaku Naib Presiden XPEL Asia Pasifik menekankan bahawa persekitaran perlumbaan ekstrem JMR mempamerkan keupayaan sebenar produk tersebut.

“JMR melambangkan kecemerlangan di dalam dan luar litar. Ini adalah platform terbaik untuk menunjukkan bagaimana teknologi perlindungan XPEL berfungsi pada tahap tertinggi,” katanya.

Musim 2025 merupakan tahun cemerlang bagi JMR dengan kejayaan debut Corvette Z06 GT3.R di Sepang, podium di Suzuka 1000, dan menamatkan 24 Hours of Spa (P12) di Belgium. YAM Tunku Abdul Rahman turut dinobatkan sebagai Naib Juara kategori Pro-Am, meletakkan asas kukuh untuk kempen 2026 yang lebih agresif.

Dengan sokongan teknologi bertaraf dunia ini, JMR menyasarkan kecemerlangan dan kemenangan di pentas global, khususnya dalam perlumbaan endurance. Kerjasama ini memberi nilai tambah kepada ketahanan jentera JMR yang bakal bersaing dalam siri utama seperti Asian Le Mans Series dan Intercontinental GT Challenge.

===

KALENDAR PERLUMBAAN UTAMA JMR 2026

Asian Le Mans Series

31 Jan – 1 Feb: Dubai Autodrome
7 – 8 Feb: Yas Marina Circuit

Intercontinental GT Challenge

13 – 15 Feb: Bathurst 12 Hour
25 – 28 Jun: CrowdStrike 24 Hours of Spa
11 – 13 Sep: Suzuka 1000
8 – 10 Okt: Indianapolis 8 Hour