
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam diisytiharkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai turut menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden parti bagi penggal 2026 sehingga 2029.
Setiausaha Agung PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Julita Mojungki berkata, Joachim yang menyandang jawatan pemangku Presiden sejak tiga tahun lalu merupakan calon tunggal bagi jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Joniston pula merupakan calon tunggal bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota bumiputera bukan Islam.
“Begitu juga, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharram menang tanpa bertanding bagi kuota Bumiputera Islam apabila calon lain hanya memperoleh satu pencalonan.
“Calon perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding dalam pemilihan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Julita berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Katanya, bagi dua jawatan Naib Presiden kuota bumiputera bukan Islam, tiga calon menerima pencalonan iaitu ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum dan penyandang, Datuk Johnny Mositun.
“Bagi kuota Bumiputera Islam pula, enam calon layak bertanding bagi dua jawatan yang dipertandingkan iaitu Mursid Mohd Rais (penyandang); Sharol Mahoolop; Zamil Ismail; Kasirin Kamiran; Ali Latif Taha dan Dr. Rodah Sawang.
“Sebanyak lima calon layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden kuota Cina, dengan satu jawatan diperuntukkan.
“Mereka ialah penyandang, Datuk Arthur Sen; Datuk Fredian Gan; Goon Thien Shang yang turut dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden; Datuk Johnny Goh dan Ng Tze Sai,” katanya.
Julita berkata, bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi kuota bumiputera bukan Islam, seramai 28 calon menerima pencalonan mencukupi untuk merebut tujuh kerusi.
Menurutnya, seramai 23 calon pula layak bertanding bagi lima kerusi Ahli Majlis Tertinggi di bawah kuota Bumiputera Islam, manakala 15 calon bertanding bagi empat kerusi di bawah kuota Cina.
Beliau berkata, tempoh penerimaan pencalonan ditutup pada 7 Ogos lalu dengan keseluruhan 79 pencalonan diterima bagi semua jawatan, termasuk lebih separuh calon yang pertama kali menyertai pemilihan parti.
Sementara itu, Joachim berkata, jumlah calon yang tinggi, termasuk kira-kira separuh daripadanya merupakan muka baharu, membuktikan ramai yang berminat untuk berkhidmat kepada parti.
“Perkara ini amat baik untuk proses penyegaran semula PBS,” katanya.
ADUN Kundasang itu berkata, beberapa perkara penting berkaitan parti turut dibincangkan termasuk persiapan menghadapi Kongres PBS dijadual berlangsung September ini.
“Persiapan menyeluruh amat penting bagi memastikan kongres berjalan lancar dan menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan parti, memperbaharui komitmen terhadap perjuangan serta merangka hala tuju masa depan demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah,” katanya. – UTUSAN
The post Joachim menang Presiden PBS, Joniston Timbalan Presiden appeared first on Utusan Malaysia.






