Joanna Wietrzyk mohon maaf insiden tercirit ketika Hyrox

18 Sep 2026 • 10:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Joanna Wietrzyk mohon maaf insiden tercirit ketika Hyrox
Joanna Wietrzyk

ATLET Australia, Joanna Wietrzyk memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi ketika memenangi saingan Hyrox di Beijing, Sabtu lalu.

Wietrzyk, pemegang rekod dunia dalam acara berkenaan menjadi perhatian selepas rakaman ketika perlumbaan tular di media sosial apabila dia meneruskan saingan walaupun mengalami masalah membuang air besar sehingga menyebabkan najis terkena bahagian kakinya.

Lebih mencetuskan kontroversi, Wietrzyk tetap meneruskan perlumbaan menggunakan peralatan yang dikongsi peserta lain sebelum muncul juara.

Dalam kenyataan di Instagram, atlet berkenaan menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat China, rakan pesaing, penonton serta penganjur Hyrox atas insiden tersebut.

"Saya memohon maaf dengan tulus kepada semua yang terkesan akibat kejadian itu.

"Apabila melihat kembali apa yang berlaku, saya menyesal kerana tidak mengambil keputusan untuk meninggalkan perlumbaan. Saya sepatutnya membuat pilihan berbeza dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan untuk meneruskan saingan," katanya.

Wietrzyk turut mengakui tindakannya menyebabkan ketidakselesaan dan gangguan kepada pihak lain selain menyedari bahawa terdapat perkara lebih penting dalam kehidupan berbanding perlumbaan.

Susulan itu, dia membuat keputusan untuk menarik diri secara retroaktif daripada perlumbaan berkenaan dan menyerahkan mata yang diperoleh hasil kemenangannya.

"Saya belajar daripada pengalaman ini dan akan membawa pengajaran tersebut bersama saya termasuk mengingati bahawa terdapat perkara lebih penting dalam kehidupan selain perlumbaan serta mengetahui bila masa yang sesuai untuk berundur," katanya.

Hyrox yang mula diperkenalkan di Jerman pada 2017 kini semakin popular dan dianjurkan di pelbagai lokasi seluruh dunia termasuk China sejak penghujung 2024.

Format pertandingan menyaksikan peserta bergilir-gilir melakukan larian sejauh satu kilometer dan latihan intensiti tinggi seperti mendayung, menolak kereta luncur, burpee, lontaran bola beban serta lunges sambil membawa beg pasir.

Pihak Hyrox sebelum ini turut memohon maaf berhubung insiden berkenaan dan berjanji melakukan perubahan terhadap peraturan selepas Wietrzyk dibenarkan menamatkan perlumbaan serta muncul juara di Beijing.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved