
Atlet Australia, Joanna Wietrzyk, tampil memohon maaf kepada orang ramai di China, peserta lain, penonton serta penganjur HYROX susulan kontroversi melibatkan dirinya yang berlaku ketika perlumbaan di Beijing, minggu lepas.
Mohon maaf selepas insiden HYROX di Beijing
Dalam kenyataan di Instagram, Joanna berkata ketika itu dia berasa berada dalam keadaan sihat dan cergas ketika memulakan perlumbaan serta tidak menjangkakan akan mengalami sebarang masalah kesihatan.
Bagaimanapun, dia mengakui kesal kerana tidak membuat keputusan untuk meninggalkan trek ketika keadaan memerlukan tindakan itu diambil.
“Saya mengakui sepatutnya membuat keputusan yang berbeza. Saya bertanggungjawab atas keputusan untuk meneruskan perlumbaan dan benar-benar memohon maaf atas ketidakselesaan serta gangguan yang berlaku,” katanya.
Baca juga:Joanna turut mengakui tindakannya bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut menjejaskan pihak lain yang berada di lokasi berkenaan.
“Saya tahu tindakan saya memberi kesan lebih daripada diri sendiri dan saya benar-benar memohon maaf kepada semua yang terjejas,” katanya.
Akui kesilapan, pilih untuk ‘lepaskan’ mata perlumbaan
Menurutnya, kejadian itu menjadi satu pengalaman yang akan dijadikan pengajaran, termasuk memahami bahawa kehidupan mempunyai perkara yang lebih penting daripada perlumbaan serta mengetahui masa yang tepat untuk berundur.
Susulan kejadian tersebut, Joanna berkata dia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan itu secara retroaktif serta melepaskan mata yang diperolehnya.
Dia turut berterima kasih kepada mereka yang terus memberikan sokongan kepadanya sebagai seorang atlet dan individu, selain menghargai mesej serta kata-kata baik yang diterimanya.
“Saya akan mengambil sedikit masa untuk pulih, melakukan refleksi dan menjaga diri serta keluarga jauh daripada segala perhatian buat sementara waktu,” katanya.




