Johor isytihar cuti peristiwa hari ini

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 12:48 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor menikmati Hari Cuti Peristiwa hari ini selepas Kerajaan Negeri mengisytiharkannya sebagai tanda penghargaan kepada seluruh pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan cuti itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN yang berlangsung pada Sabtu.

“Pada masa sama, suka saya kongsikan, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.

“Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas BN memperoleh mandat besar pada PRN Johor Ke-16.

Beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor.

Selain itu, beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Menurut Onn Hafiz, beliau menyedari setiap keputusan yang bakal dibuat akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor dan berikrar untuk melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, integriti serta tanggungjawab.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang menunjukkan kematangan dalam proses demokrasi dengan keluar mengundi secara aman, tertib dan bertanggungjawab pada PRN kali ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved