Eason akui SUKMA lebih mendebarkan berbanding Kejohanan Dunia

22 Aug 2026 • 4:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Eason akui SUKMA lebih mendebarkan berbanding Kejohanan Dunia

SHAH ALAM: Pengalaman beraksi di pentas dunia tidak menghalang gimnas wushu negara, Eason Yap Yee Zheng daripada mengakui saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 jauh lebih mendebarkan apabila terpaksa berdepan rakan sepasukan kebangsaan sendiri.

Eason yang mewakili kontinjen Melaka membuktikan ketenangannya apabila mengungguli acara taijiquan-taijijian lelaki di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini dengan mengumpul keseluruhan 19.239 mata untuk menghadiahkan emas.

Atlet berkenaan terlebih dahulu meraih 9.613 mata dalam taijiquan sebelum menambah 9.626 mata menerusi taijijian bagi memastikan kedudukan teratas menjadi miliknya.

Lebih menarik, kejayaan itu hadir selepas Eason yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia Taijiquan di Mlados, Bulgaria, Mei lalu, mengakui tekanan di SUKMA hadir dalam bentuk yang berbeza.

Katanya, berbanding Kejohanan Dunia yang menyaksikannya berdepan atlet dari negara lain, SUKMA menemukan dirinya dengan pesaing yang sudah dikenali dalam skuad kebangsaan.

“Saya rasa SUKMA lebih memberi tekanan berbanding Kejohanan Dunia kerana mereka semua atlet dari negara lain. Di sini persaingan saya adalah dengan atlet pasukan kebangsaan, jadi lebih tertekan.

“Namun, saya tidak akan fikir saya takut dengan sesiapa hanya kerana mereka daripada pasukan kebangsaan,” katanya.

Menurut Eason, emas yang diraih hari ini juga menjadi hasil perancangan jangka panjang apabila dia sudah membuat persiapan khusus untuk memburu kejuaraan itu sejak satu hingga dua tahun lalu.

“Kali ini untuk mendapatkan pingat emas, saya memang ada perasaan boleh melakukannya kerana saya sudah lama membuat persiapan, kira-kira satu atau dua tahun,” katanya.

Emas itu melengkapkan satu lagi detik bermakna buat Eason tahun ini selepas kejayaan di Bulgaria, sekali gus membuktikan persiapannya mampu diterjemahkan kepada keputusan cemerlang di pentas antarabangsa dan domestik.-UTUSAN

The post Eason akui SUKMA lebih mendebarkan berbanding Kejohanan Dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved