
JOHOR BAHRU – Kejohanan Polo Super Crown Johor (JSCPT) 2026 yang membuka tirainya pada 1 September ini menghimpunkan bintang antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di padang bersejarah Istana Pasir Pelangi, di sini.
Kejohanan berprestij edisi sulung bertemakan Legacy in Motion itu menyaksikan penyertaan lima pasukan jemputan khas iaitu Royal Johor, Temasek, J-corp, Korea Polo dan Digital Bridge.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dijangka membuat penampilan bersama pasukan Royal Johor pada perlawanan pembukaan di Padang Polo Diraja Istana Pasir Pelangi.
Wakil Kelab Polo Diraja Johor (RJPC), David Keyte berkata, saingan kali ini berada pada aras tertinggi antarabangsa setaraf kejohanan terkemuka dunia seperti Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Queen’s Cup di United Kingdom.
Menurutnya, pihak penganjur menyediakan kira-kira 190 ekor kuda berprestasi tinggi yang diagihkan secara adil kepada semua pasukan bertanding bagi memastikan mutu persaingan yang seimbang.
“RJPC membekalkan keseluruhan kuda bagi kejohanan ini, termasuk membawakan lebih 60 ekor kuda baharu yang diimport khas dari Argentina.
“Fasiliti di sini kini merupakan antara yang terbaik di dunia hasil komitmen berterusan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menaik taraf padang serta fasiliti kelab setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pemain pasukan Royal Johor, Pablo ‘Polito’ Pieres serta tonggak pasukan Temasik, Nachi du Plessis.
Saingan enam hari itu turut diseri dengan kehadiran jagoan polo bertaraf 10-goal dunia seperti Juan Martín Nero dan Pablo Mac Donough yang pernah menjuarai Terbuka Argentina berulang kali.
Dalam pada itu, Keyte memberitahu, saingan tahun ini hanya dibuka secara jemputan khas atas faktor kawalan keselamatan di kawasan Istana Pasir Pelangi.
Begitupun, beliau memberi jaminan bahawa peminat sukan berkenaan tetap boleh mengikuti setiap aksi perlawanan menerusi siaran langsung secara percuma di platform PoloLine TV dan saluran YouTube.
Sementara itu, Nachi menyifatkan kehadiran pemain-pemain legenda tersebut ibarat menyaksikan kelibat bintang bola sepak terkemuka, Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo beraksi di gelanggang tempatan.
“Para penonton bakal disajikan aksi yang cukup mendebarkan kerana setiap pasukan dibariskan pemain handalan dari serata dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Johor Super Crown 2026 himpun jagoan polo dunia appeared first on Kosmo Digital.






