Akademi JDT terus unggul dominasi bola sepak belia

LocalFootball
28 Aug 2026 • 11:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Akademi JDT terus unggul dominasi bola sepak belia

JOHOR BAHRU: Kejayaan Johor Darul Ta’zim FC III (JDT III) meraih pingat emas bola sepak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan program pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan Akademi JDT berkesan.

Kejayaan itu melengkapkan pencapaian Akademi JDT terus mendominasi kejohanan bola sepak belia di pelbagai peringkat umur, termasuk pertandingan domestik dan antarabangsa sejak beberapa tahun yang lalu.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, pencapaian tersebut membuktikan program pembangunan yang dilaksanakan berada pada landasan tepat seperti yang dirancang Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sejak penubuhan JDT pada 2013.

Beliau berkata, batu asas yang diletakkan Tunku Mahkota Ismail itu telah menjadikan Akademi JDT sebagai akademi bola sepak terkemuka di negara ini dengan kejayaan daripada peringkat Bawah-12 tahun sehinggalah ke kumpulan umur yang lebih tinggi.

“Kejayaan dan dominasi yang dicapai oleh Akademi JDT menjadi bukti bahawa program pembangunan jangka panjang yang kita laksanakan adalah kukuh dan berada di landasan yang tepat.

“Sudah tentu terdapat proses percubaan dan kesilapan pada tahun-tahun awal kerana kami merupakan sebuah kelab baharu yang sedang berusaha membina asas yang kukuh, namun kerjasama dengan kelab-kelab yang mempunyai reputasi kukuh seperti Borussia Dortmund dan Valencia pada masa lalu telah membantu membawa kami ke landasan yang tepat dan pada hari ini,” katanya.

JDT III kini merupakan juara Piala Presiden (Bawah-20) selama empat tahun berturut-turut sejak 2022, manakala JDT IV muncul juara Piala Belia (Bawah-18) pada 2024 dan 2025.

Akademi JDT turut mencatat kejayaan dalam pelbagai kejohanan kategori Bawah-12 hingga Bawah-18 tahun termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (Piala KPM), Singapore Youth League, La Liga Youth Tournament, Supermokh Cup, Garuda International Cup dan JSSL Internationals.

Sementara itu, Pengarah Akademi JDT, Javi Jorda berkata, hasil daripada pelaburan dan pembangunan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu kini mula diterjemahkan menerusi kejayaan pasukan di pelbagai peringkat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami mula menuai hasil daripada asas yang telah kami bina pada masa lalu. Perhatian umum sering tertumpu kepada pasukan di peringkat tertinggi, namun amat penting untuk memastikan asas dibina dengan betul serta membangunkan generasi pemain bola sepak seterusnya.

“Selepas melakar pelbagai kejayaan di pelbagai pertandingan kumpulan umur di seluruh negara pada setiap tahun dan kini pingat emas SUKMA, ia merupakan sesuatu yang amat dibanggakan oleh Akademi JDT kerana ia membuktikan keberkesanan usaha yang telah kami lakukan serta menjadi motivasi untuk kami terus melangkah ke hadapan,” katanya.-UTUSAN

The post Akademi JDT terus unggul dominasi bola sepak belia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved