KAMPAR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti setiap aduan atau dakwaan yang tular membabitkan penjawat awam sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan terus menjatuhkan hukuman tanpa mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang terlibat.
Menurutnya, setiap kes akan melalui proses siasatan dan semakan bagi memastikan tindakan yang diambil adalah adil serta berlandaskan prosedur yang ditetapkan.
"Kita akan minta penjelasan daripada pegawai yang terlibat terlebih dahulu. Jika didapati tiada kesalahan dilakukan, maka perkara itu akan ditutup.
"Namun sekiranya terdapat kesalahan atau kecuaian, tindakan boleh diambil mengikut prosedur termasuk melalui Lembaga Tatatertib," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ibadah Korban Kampung Angkat Madani (KAM) JPA bersama komuniti Kampung Kota Bharu di Masjid Jamek Kampung Kota Bharu di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai tindakan terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu atau fitnah terhadap penjawat awam dan jabatan kerajaan, Mohd Shaiful berkata, tindakan undang-undang boleh diambil melalui laporan polis.
Menurutnya, laporan boleh dibuat oleh individu yang terkesan atau jabatan berkaitan sekiranya penyebaran maklumat tersebut menjejaskan imej dan kredibiliti organisasi.
"Jika perkara yang disebarkan itu tidak benar dan memberi kesan kepada jabatan, kita perlu mempertahankan kredibiliti organisasi dengan membuat laporan polis.
"Polis akan menjalankan siasatan dan sekiranya terdapat kes, ia boleh dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shaiful berkata, Program Ibadah Korban KAM JPA tahun ini melibatkan penyembelihan lima ekor lembu hasil sumbangan JPA bersama rakan strategik.
Katanya, program yang disertai kira-kira 40 hingga 50 petugas JPA serta hampir 100 penduduk kampung itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 200 penduduk di Kampung Kota Bharu.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini sebanyak RM600,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Kampung Kota Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Malim Nawar, melibatkan pembangunan fasiliti awam, pendidikan serta program pembangunan komuniti.
Menurutnya, terdapat cadangan tambahan yang sedang dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk kerja menaik taraf dewan orang ramai dan kemudahan lampu jalan di kawasan tersebut.




