KAMPAR - Kira-kira 200 penduduk Kampung Kota Bharu di sini menerima agihan daging korban menerusi Program Ibadah Korban Kampung Angkat Madani (KAM) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sempena sambutan Aidiladha pada Sabtu.
Program yang berlangsung di Masjid Jamek Kampung Kota Bharu itu melibatkan penyembelihan lima ekor lembu hasil sumbangan JPA bersama rakan strategik.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, program tersebut merupakan antara pengisian di bawah inisiatif KAM yang bertujuan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat.
**media[3535762]**
Menurutnya, kira-kira 40 hingga 50 petugas JPA bersama hampir 100 penduduk kampung bergotong-royong menjayakan program berkenaan sejak awal pagi.
"Program bermula seawal jam 7 pagi dengan proses penyembelihan dan penyediaan daging korban sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.
"Daripada keseluruhan keluarga yang menetap di kampung ini, sekitar 200 penduduk menerima manfaat daripada program ini," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi Program Kampung Angkat Madani membuktikan komitmen JPA bukan sahaja dalam pembangunan modal insan sektor awam, malah turut memainkan peranan dalam pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, semangat gotong-royong yang ditunjukkan menerusi pelaksanaan ibadah korban itu selaras dengan nilai Malaysia Madani yang menekankan aspek ihsan, hormat dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.
Sementara itu, Mohd Shaiful berkata, sehingga kini sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani JPA di Kampung Kota Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan pelbagai projek pembangunan fasiliti awam, pendidikan dan program pembangunan komuniti, selain beberapa cadangan penambahbaikan lain yang sedang dibincangkan bersama agensi berkaitan.






