

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras pemandu warga asing tanpa lesen. Tindakan tegas ini diambil susulan peningkatan aduan orang ramai berhubung ancaman keselamatan jalan raya akibat pemanduan haram warga asing, termasuk isu menyewa kenderaan daripada rakyat tempatan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Hassan menegaskan bahawa operasi ini dilaksanakan bagi memberi mesej jelas supaya semua penggunan jalan raya mematuhi undang-undang Malaysia.
Rekod Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) menunjukkan kesalahan membabitkan warga asing meningkat sebanyak 50.4 peratus antara tahun 2024 hingga 2026, dengan 34,155 kesalahan dilaporkan.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 103,670 kenderaan telah diperiksa dan 17,966 daripadanya telah dikenakan tindakan tegas oleh pihak penguat kuasa.

Kesalahan utama yang dikesan termasuklah:
Memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Tiada perlindungan insurans sah.
Penyalahgunaan lesen kenderaan bagi tujuan perniagaan atau kutip besi buruk.
JPJ turut mengesan taktik segelintir rakyat tempatan yang bersubahat menjadi dalang menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa dokumen sah pada harga serendah RM100 sebulan.
Sikap tidak bertanggungjawab pemilik tempatan ini dikenal pasti menjadi punca utama lambakan pemandu haram di atas jalan raya, khususnya di kawasan seperti Kelantan.
Pihak penguat kuasa menegaskan bahawa tiada lagi kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berdegil melanggar peraturan ini.

Rakyat tempatan yang didapati membenarkan atau menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa lesen boleh berdepan tindakan undang-undang berat.
Pemilik kenderaan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 di bawah Subseksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan penyalahgunaan LKM.
Selain denda dan saman kompaun, JPJ juga akan menyita terus kenderaan yang terlibat bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh demi keselamatan awam.






