
JOHOR BAHRU – Cubaan seorang lelaki warga Rohingya untuk melarikan diri ketika ditahan dalam Ops Khas PeWA (Pemandu Warga Asing) tidak berhasil apabila dia antara 1,346 pemandu warga asing yang dikenakan tindakan sepanjang operasi khas sejak 1 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri, Zulkarnain Yasin berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 10,580 kenderaan diperiksa.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,346 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu kenderaan, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubahsuai kenderaan serta pamer nombor kenderaan tidak berdaftar.
“Operasi yang dijalankan secara berfokus di lokasi strategik yang menjadi tumpuan pergerakan pemandu warga asing di seluruh negeri Johor.
“Semasa operasi pagi ini, ada warga asing termasuk lelaki Rohingya cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal secara berbahaya namun cubaan suspek gagal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Ops Khas PeWA di JPJ Negeri Johor di sini hari ini.
Zulkarnain berkata, warganegara Pakistan merekodkan orang kena saman (OKS) paling ramai dengan jumlah 447 diikuti Bangladesh (251), Singapura (223), Indonesia (180) dan Myanmar (150).
Turut ditahan ialah 21 lelaki warga Vietnam, India (19), Nepal (5), Kemboja (2) serta lain-lain negara 48 orang.
Beliau berkata, JPJ turut mengambil tindakan sitaan kenderaan terhadap pemandu warga asing yang didapati melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan setiap individu yang mengendalikan kenderaan di jalan raya mempunyai kelayakan secara sah serta mematuhi peraturan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Rohingya cuba lari dari sekatan JPJ appeared first on Kosmo Online.





