JPJ gantung perkhidmatan MYEG, Zetrix AI mulai 5 Oktober

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JPJ gantung perkhidmatan MYEG, Zetrix AI mulai 5 Oktober Image from: JPJ gantung perkhidmatan MYEG, Zetrix AI mulai 5 Oktober liza02/10/2026 - 18:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan Zetrix AI Berhad dan My E.G. Sdn Bhd (MYEG) sebagai ejen kutipan JPJ berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 5 Oktober 2026.

 

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan itu membabitkan kedua-dua syarikat di bawah kumpulan MYEG.

 

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pematuhan dengan terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian, serta status obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Susulan penggantungan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG turut digantung mulai 5 Oktober.

 

Saluran rasmi JPJ kekal beroperasi

JPJ bagaimanapun memberi jaminan bahawa perkhidmatan kepada orang ramai akan terus berjalan seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.

 

Bagi pembaharuan lesen kenderaan motor atau cukai jalan, pengguna masih boleh berurusan di kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kiosk JPJ dan kaunter bergerak.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Zetrix AI didakwa belum serah lebih RM200 juta kutipan JPJ kepada kerajaan

 

Perkhidmatan berkenaan turut tersedia di pejabat pos serta perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terpilih.

 

Sementara itu, pembaharuan lesen memandu masih boleh dilakukan menerusi kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kiosk, kaunter bergerak dan pejabat pos.

 

Permohonan Lesen Memandu Belajar (LDL), selain semakan dan pembayaran saman, juga boleh dibuat melalui saluran rasmi JPJ.

 

Tempahan KPP01 sebelum 5 Oktober kekal sah

Bagi tempahan ujian teori berkomputer KPP01 yang dibuat menerusi MYEG sebelum 5 Oktober, JPJ berkata tempahan berkenaan kekal sah dan boleh diteruskan mengikut jadual ditetapkan.

 

Bagaimanapun, tempahan baharu mulai 5 Oktober perlu dibuat menerusi pusat ujian KPP di institut memandu di seluruh negara.

 

 

 

 

Bagi bukan warganegara yang membuat pembayaran saman di sempadan Malaysia-Singapura, JPJ berkata unit bergerak akan disediakan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

 

JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi jabatan bagi memastikan urusan berkaitan perkhidmatan dan transaksi dapat dilakukan dengan lancar serta selamat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved