JPJ Mula Guna Kamera Badan Tahun Ini, Langkah Baru Rakam Kesalahan Lalu Lintas

24 Feb 2025 • 12:56 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Mula tahun ini, JPJ akan pakai kamera badan, tak boleh lagi ‘kowtim’ dengan pegawai?

Mulai tahun ini, pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula memakai kamera badan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa sebanyak 100 buah kamera akan digunakan dalam fasa pertama inisiatif ini.

image is not available
JPJ Mula Guna Kamera Badan Tahun Ini, Langkah Baru Rakam Kesalahan Lalu Lintas. Gambar hiasan.

Tak Boleh Lari Lagi, Semua Akan Dirakam

Menurut Anthony Loke, kamera ini bukan sekadar untuk rekodkan interaksi pegawai dengan pengguna jalan raya, tetapi juga sebagai bukti kukuh bagi sebarang pelanggaran lalu lintas. Lebih menarik, ia juga bertujuan untuk mengelakkan salah tafsir dan tuduhan tidak berasas terhadap pegawai JPJ.

“Penggunaan kamera pakai badan ini juga memainkan peranan dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti pegawai penguat kuasa semasa menjalankan tugas,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Tiada Lagi ‘Kowtim’ atau Salah Faham

Bagi yang selalu cuba ‘settle tepi’, mungkin kena fikir dua kali lepas ni. Dengan adanya rakaman visual, pegawai JPJ lebih terlindung daripada ancaman dan dakwaan tidak berasas.

Selain itu, sesi pembuktian konsep telah dijalankan untuk memastikan kamera ini berfungsi dengan baik dari segi teknikal dan operasinya. Jika semuanya berjalan lancar, fasa kedua akan bermula tahun depan dengan lebih banyak pegawai dilengkapi peranti ini. Namun, ia masih bergantung kepada peruntukan kewangan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Polis Pun Akan Pakai Kamera Badan

Bukan JPJ je, pegawai polis pun akan dilengkapi dengan kamera badan bermula Mac tahun ini. Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kamera ini akan diedarkan ke 157 ibu pejabat polis daerah dan 640 balai polis seluruh negara.

Jadi, lepas ni kalau ada roadblock atau pemeriksaan JPJ, kena pastikan semua dokumen lengkap dan patuhi undang-undang. Sebab semuanya akan masuk rekod dan tak ada lagi ruang untuk ‘kreativiti’ dalam perbincangan. Bagus ke tidak langkah ni? Apa pendapat korang?

Baca juga artikel yang berkaitan: