
Sebelum ini, tular satu hantaran dari sebuah akaun di Facebook yang berkongsi tangkap layar bertajuk “Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) cadang benarkan etnik Rohingnya untuk ambil lesen memandu.”
JPJ nafi dakwaan cadang benarkan Rohingnya ambil lesen memandu seperti tular di Facebook
Terbaharu, JPJ menerusi satu kenyataan di Facebook menafikan sekeras-kerasnya terhadap dakwaan tersebut.
Malah JPJ juga memandang serius atas tindakan tersebut sehingga boleh mengelirukan masyarakat selain menjejaskan kredibiliti JPJ.
Pandang serius tindakan yang boleh menyebabkan masyarakat keliru dan jejas kredibiliti JPJ
“JPJ menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Along Auto dengan tajuk ‘JPJ Cadang Benarkan Rohingnya Ambil Lesen Memandu,’ menyerupai berita rasmi.
“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej Jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti JPJ,” ujarnya.
JPJ buat laporan MCMC untuk siasatan dan tindakan lanjut
Kata JPJ, pihaknya turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membolehkan siasatan serta tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan tersebut.
JPJ turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya serta sentiasa merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dah sahih.





