JPJ P. Pinang kesan 110 kes tunggang motosikal bawah umur

LocalCars
20 Nov 2026 • 12:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JPJ P. Pinang kesan 110 kes tunggang motosikal bawah umur

SEBERANG JAYA: Sebanyak 110 kes menunggang motosikal di bawah umur dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Operasi Khas Motosikal Ekstrem yang dilaksanakan sejak Januari hingga 19 November lalu.

Lebih membimbangkan, operasi sama turut merekodkan 314 kesalahan tiada lesen memandu dan 214 kes lesen memandu tamat tempoh dalam kalangan pengguna motosikal yang diperiksa.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifli Ismail berkata, sebanyak 3,874 motosikal diperiksa sepanjang tempoh operasi berkenaan dengan 1,006 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 1,269 notis dikeluarkan dengan jumlah kompaun keseluruhan mencecah RM218,100.

Beliau berkata, antara kesalahan teknikal yang dikesan ialah 187 kes pengubahsuaian kenderaan termasuk penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi asal, pengubahsuaian ekzos, pemanjangan lengan ayun (swing arm) serta pengubahsuaian sistem brek.

“Penggunaan tayar yang tidak mengikut spesifikasi asal boleh menjejaskan cengkaman dan kestabilan motosikal, manakala pembuangan penyerap bunyi pada ekzos menyebabkan bunyi bising.

“Pengubahsuaian swing arm sehingga menjadi lebih panjang daripada spesifikasi asal juga boleh menyebabkan sistem brek belakang tidak dapat dipasang,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kesalahan teknikal lain yang direkodkan ialah 74 kes nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, 36 kes penggunaan tayar tidak mengikut piawaian, 28 kes pengubahsuaian ekzos, 27 kes penukaran swing arm, 26 kes berkaitan brek serta empat kes mengusik nombor casis.

Menurutnya, kos pengubahsuaian motosikal ekstrem boleh mencecah puluhan ribu ringgit bergantung kepada jenis perubahan yang dilakukan, malah ada kalanya melebihi harga asal motosikal itu sendiri.

Katanya, kebanyakan pemilik melakukan pengubahsuaian berkenaan atas faktor hobi dan keinginan untuk menonjol dalam kalangan rakan.

“Hobi itu tidak salah, tetapi pengubahsuaian motosikal yang melanggar undang-undang tidak boleh digunakan di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja melibatkan pengeluaran notis atau kompaun, malah boleh membawa kepada penyitaan kenderaan dan tindakan mahkamah bergantung kepada jenis kesalahan serta peruntukan undang-undang.-UTUSAN

The post JPJ P. Pinang kesan 110 kes tunggang motosikal bawah umur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved