
JPJ Perak mengesan 247 kesalahan jalan raya dan menyita 37 motosikal menerusi Ops Motosikal Ekstrem yang dijalankan sejak Januari.
IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengesan 247 kesalahan jalan jaya menerusi Ops Motosikal Ekstrem yang dijalankan di seluruh negeri itu sejak 1 Jan hingga semalam.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata dalam operasi terbabit, sebanyak 146 motosikal diperiksa dengan 79 daripadanya diambil tindakan manakala 37 motosikal disita.
“Sebanyak 21 daripada 37 motosikal yang disita didapati melakukan pengubahsuaian ekstrem melanggar spesifikasi dibenarkan.
“Selain itu, sebanyak 197 Notis JPJ (P) 22 dan 39 Notis PG1 (Notis Larangan Penggunaan Kenderaan) dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan yang dikesan dalam operasi tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah pengubahsuaian tayar, ekzos serta sistem brek yang boleh menjejaskan tahap keselamatan motosikal.
Mohammad Yusoff berkata setiap motosikal turut diteliti dari aspek spesifikasi teknikal, nombor casis dan enjin, lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans.
Beliau berkata JPJ Perak bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap premis menjual alat ganti motosikal dalam masa terdekat.
“Ia bagi memastikan bekalan alat ganti yang diperlukan masyarakat tidak disalahgunakan untuk tujuan pengubahsuaian motosikal yang melanggar peraturan selain memastikan aspek keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.





