
SEPANG: Polis masih memburu individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan menabur paku di susur kiri Jejambat Cybersouth yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.
Menurutnya, pemantauan turut dilakukan di lokasi berkenaan namun ketika pemeriksaan dijalankan, tiada individu terlibat yang ditemui.
“Kita tidak biarkan perkara ini. Jika ada maklumat, orang ramai boleh maklumkan kepada kita untuk kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Flag-Off Konvoi Kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-69 di sini, hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan awam.
Katanya, perbuatan menabur paku di kawasan berkenaan amat berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana lokasi itu mempunyai selekoh yang berpotensi menyebabkan kemalangan.
“Anggota saya sendiri pun baru-baru ini ada yang mengutip paku selepas menemuinya di lokasi itu. Jadi kami akan terus meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang anggota polis menemukan sejumlab paku dan objek logam bertaburan di atas jalan laluan ke Cybersouth, Dengkil, awal pagi Isnin.
Justeru itu, tegasnya, beliau akan terus memastikan anggota dari pelbagai bahagian menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengesan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan masyarakat.
Sementara itu, Norhizam berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik susulan beberapa kejadian dilaporkan berlaku di negeri lain.
Katanya, anggota peronda akan memastikan semua bendera yang dipasang di sekitar Sepang berada dalam keadaan betul bagi mengelakkan sebarang kesilapan sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja.
“Kita harap di Sepang tidak akan berlaku perkara itu dan anggota rondaan akan memastikan semua bendera yang dipasang tidak dikibarkan secara terbalik.
“Jika berlaku perkara yang boleh mendatangkan kegusaran, kita akan ambil tindakan dan satu laporan akan dibuat,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di daerah berkenaan.
Isnin lalu, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik. – UTUSAN
The post Polis buru individu tabur paku di Jejambat Cybersouth appeared first on Utusan Malaysia.





![Ramai Geram Ada Pihak Tabur Paku Di Jalan Raya, Minta Pihak Berkuasa Pasang CCTV [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/paku-ditabur-di-cybersouth-1.jpg?t=1787034971)
![[VIDEO] Bersepah paku atas jalan hala Cybersouth](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/paku-cybersouth-1024x725.jpeg)