Individu tabur paku di Cybersouth diburu

20 Aug 2026 • 1:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Individu tabur paku di Cybersouth diburu

SEPANG – Polis masih memburu individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan menabur paku di susur kiri jejambat Cybersouth yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan mengenainya masih dijalankan termasuk mengesan individu yang bertanggungjawab.

Katanya, pemantauan turut dilakukan di lokasi, namun tiada individu disyaki yang ditemui.

“Kita tidak membiarkan perkara ini. Jika ada maklumat, orang ramai boleh memaklumkan kepada kita untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui ketika Pelepasan Konvoi Kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-69, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan awam.

Katanya, perbuatan menabur paku amat berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana lokasi tersebut mempunyai selekoh yang berpotensi menyebabkan kemalangan.

“Anggota saya sendiri pun baru-baru ini ada yang mengutip paku selepas menemuinya di lokasi itu. Jadi kami akan terus meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang anggota polis menemukan sejumlah paku dan objek logam bertaburan atas jalan di laluan ke Cybersouth, Dengkil awal pagi Isnin.

Sementara itu, Norhizam berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik susulan beberapa kejadian dilaporkan berlaku di negeri lain.

Katanya, anggota peronda akan memastikan semua bendera yang dipasang di sekitar Sepang berada dalam keadaan betul bagi mengelak sebarang kesilapan sama ada disengajakan atau tidak sengaja.

“Kita harap di Sepang tidak akan berlaku perkara itu. Anggota rondaan akan memastikan semua bendera yang dipasang tidak dikibarkan secara terbalik. Jika berlaku, kita akan ambil tindakan dan laporan akan dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Individu tabur paku di Cybersouth diburu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved