
SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah memeriksa 19,239 kenderaan dan mengeluarkan 1,328 saman terhadap pemandu warga asing menerusi Op Khas Pemandu Warga Asing (PeWA), bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.
Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 638 kenderaan dikenakan tindakan manakala 178 kenderaan disita kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kegiatan warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah.
“Selain itu, operasi ini turut memberi tumpuan kepada pengesanan dan tindakan terhadap pemilik kenderaan yang didapati membenarkan atau menyerahkan kenderaan mereka untuk dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Zulkifly berkata, tindakan itu bukan sahaja melibatkan pemandu warga asing, malah pemilik kenderaan dan syarikat pengangkutan yang didapati melanggar peraturan turut dikenakan tindakan.
“Terdapat warga asing dikesan memandu kenderaan mewah terdiri daripada warga China dan Myanmar dan ada antara mereka merupakan golongan profesional yang memiliki kenderaan sendiri,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Warga asing di P. Pinang pandu kereta mewah, miliki kenderaan sendiri appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] ‘Ingatkan anak yang buka but kereta, rupanya…’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WARGA-ASING-DASHCAM-KERETA-1024x768.jpeg)
