JPJ tahan Toyota Vellfire tawar khidmat ‘ulat’ di KLIA

15 Sep 2026 • 6:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JPJ tahan Toyota Vellfire tawar khidmat ‘ulat’ di KLIA

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebuah Toyota Vellfire dan pemandu ditahan selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen kepada penumpang di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor memaklumkan, tangkapan dibuat Stesen Penguatkuasa KLIA hasil intipan dan pemantauan yang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada empat penumpang warganegara Myanmar dan Bangladesh dari Terminal 2 KLIA ke beberapa lokasi berbeza sekitar Selangor.

"Kadar tambang sebanyak RM80 dikenakan setiap seorang dan akan dibayar bila sampai ke destinasi," menurut kenyataan di Facebook.

Katanya, kenderaan bersama pemandu itu ditahan dan disita untuk siasatan lanjut.

Jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta sama," tegas agensi itu.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah menerusi kaunter perkhidmatan disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu serta aduan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved