JPM tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’

LocalEntertainment
2 Sep 2026 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPM tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’
Dr Zulkifli Hasan

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.

"JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, drama yang disiarkan di salah sebuah platform berbayar bermula pada 23 Ogos lalu yang menampilkan pelakon antaranya Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha menjadi bualan di laman sosial apabila didakwa memaparkan adegan yang dianggap keterlaluan.

Rata-rata pengguna media sosial berharap pihak kerajaan menghentikan tayangan drama bersiri 12 episod itu yang didakwa menonjolkan adegan menjurus kepada pelakuan songsang.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan.

Beliau berkata, tindakan akan diambil berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.

"JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.

"Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved