
KUALA LUMPUR – Satu video yang tular di TikTok berjaya menyentuh hati ramai apabila memaparkan reaksi seorang adik istimewa yang kelihatan berubah wajah sebaik sahaja melihat abangnya selepas sekian lama tidak bertemu.
Menerusi perkongsian oleh akaun TikTok iQi & BaBah, remaja lelaki yang merupakan individu kelainan upaya (OKU) itu pada awalnya dilihat duduk termenung di atas kerusi roda sebelum kehadiran abangnya dari belakang mencuri perhatian.
Sebaik menyedari kehadiran insan yang disayanginya itu, wajahnya terus berubah ceria dan dipenuhi senyuman. Malah, dia dilihat begitu teruja sehingga cuba mendekati serta memeluk abangnya dalam suasana yang cukup menyentuh perasaan.
Menurut pemilik video, adik tersebut menghidap cerebral palsy dan mempunyai kesukaran untuk bercakap serta memahami sesuatu perkara dengan baik. Namun begitu, dia tetap mampu merasai kasih sayang dan mengenali insan yang rapat dengannya.
“Dia memang tak boleh bercakap, tak boleh berfikir dengan baik dan faham tetapi dia ada perasaan yang baik kepada seseorang yang dia suka dan sayang,” tulis pemilik video pada ruangan kapsyen.
Ikatan Kasih Sayang Dua Beradik Sentuh Hati Netizen
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengakui mereka tersentuh melihat ikatan kasih sayang antara dua beradik itu. Tidak kurang juga yang mendoakan agar urusan mereka sentiasa dipermudahkan.
Ada juga yang meluahkan rasa sebak melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah adik istimewa tersebut ketika bertemu semula dengan abangnya. Bagi mereka, momen seperti itu membuktikan bahawa kasih sayang tidak memerlukan kata-kata untuk dizahirkan.
Pernah Muncul Dalam Drama Popular
Lebih menarik perhatian, beberapa netizen turut mengenali adik tersebut sebagai pelakon kanak-kanak yang pernah muncul dalam drama Maaf Tak Indah. Pemilik akaun yang dipercayai individu sama turut membalas komen dengan mengesahkan perkara itu.
Perkongsian berkenaan turut mendapat ribuan tanda suka dan ratusan komen daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh dengan kasih sayang tulus antara dua beradik tersebut. – The Malaysian Update
The post Senyuman Berubah Saat Terpandang Abang, Momen Adik Istimewa Ini Undang Sebak Ramai appeared first on The Malaysian Update.





