KUALA TERENGGANU - Sebanyak 39 daripada 177 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di negeri ini berisiko terjejas banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu (Sektor Pembelajaran), Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, langkah awal telah digerakkan agar perjalanan peperiksaan tidak tergendala walaupun berlaku hujan lebat atau banjir.
Menurutnya, Ops Payung juga telah digerakkan bersama agensi terlibat bagi menyelaraskan tindakan serta kesiapsiagaan sepanjang musim peperiksaan.
"Ada 39 pusat peperiksaan yang berisiko banjir, sama ada premis sekolah sendiri dilanda banjir, jalan akses ke pusat terjejas atau kediaman calon ditenggelami air.
"Sebagai langkah persediaan, pusat ganti sudah ditetapkan selain kemudahan asrama sekolah disediakan untuk calon yang terkesan akibat banjir," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama kertas Bahasa Melayu SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail di sini pada Isnin.
Tambah Wan Zuraidi, pengalaman berdepan banjir saban tahun ketika MTL menjadikan pihaknya lebih bersedia dalam memastikan semua calon dapat mengambil peperiksaan dengan lancar.
Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 20,352 calon SPM 2026 di Terengganu berdaftar di 177 pusat peperiksaan, termasuk enam pusat di hospital.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 1,285 calon mendaftar secara persendirian, manakala 121 lagi ialah calon berkeperluan pendidikan khas merangkumi masalah pembelajaran, kurang upaya pendengaran, penglihatan, fizikal serta ketidakupayaan pelbagai.
Jelas beliau, seramai 1,169 petugas dalam kalangan guru dan dibantu 300 sukarelawan ditugaskan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.






