
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan telah mengenal pasti sebanyak 619 kawasan berisiko tinggi dilanda banjir sekitar negeri ini, sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, kawasan-kawasan tersebut turut melibatkan empat lembangan sungai Utama di Kelantan, iaitu Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Galas dan Sungai Kemasin.
“Semua kawasan tersebut telah dipersetujui sebagai titik panas bencana banjir berdasarkan perbincangan antara agensi-agensi terlibat dan hampir kesemuanya tertumpu kepada empat lembangan sungai tersebut.
“Maksudnya bagi JBPM Kelantan sendiri, kawasan jajawan empat lembangan sungai itu dianggap berpotensi berlaku banjir,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Kilang Memproses Minyak Liquid Palm Edible Oil (LPEO) Sdn. Bhd. di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan, JBPM Kelantan juga telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir yang diramalkan bermula esok sehingga 27 November ini, termasuk mempersiapkan bilik gerakan.
Menurutnya, bilik gerakan tersebut akan diaktifkan sebaik sahaja bencana banjir melanda dan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
“Seramai 633 pegawai dan anggota JBPM Kelantan sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir dan diperkuatkan oleh 200 pegawai bomba bantuan, 16 pasukan bomba sukarela dan 51 pasukan bomba komuniti dari seluruh Kelantan.
“Kita juga menerima sembilan pacuan empat roda baharu pada awal tahun ini, menjadikan keseluruhan 60 pacuan empat roda, 45 bot dan 20 lori boleh diguna pakai bagi menjalankan operasi banjir kali ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan kemungkinan berlaku banjir luar biasa pada tahun ini agak tipis mengambil kira laporan ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dan impak Super El-Nino yang masih dirasai.
“Namun kita tetap bersedia kerana semuanya bergantung kepada impak monsun timur laut, termasuk keadaan air pasang besar di Kelantan hanya akan bermula pada 26 dan 27 November.
“Daripada situ kita jangka sekiranya berlaku hujan terutama di kawasan-kawasan hulu, kita akan bersiap sedia untuk kawasan Kota Bharu, Pasir Mas dan kawasan-kawasan di hilir sungai, terutama empat lembangan seluruh Kelantan,” katanya. – UTUSAN
The post JBPM Kelantan kenal pasti 619 kawasan berisiko banjir appeared first on Utusan Malaysia.






