JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mahu pelaburan yang dibawa menerusi Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) bukan sahaja meningkatkan nilai pelaburan negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemasukan pelaburan perlu membawa nilai tambah lebih besar kepada ekonomi negeri, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
Katanya, Johor juga mahu syarikat, vendor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan mendapat manfaat dan berkembang seiring dengan pertumbuhan JS-SEZ.
“Bagi Johor, kemasukan pelaburan perlu membawa nilai tambah yang lebih besar kepada ekonomi negeri.
“Ia bukan sahaja perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak-anak Johor, malah membuka lebih banyak peluang kepada syarikat, vendor, PKS dan usahawan tempatan untuk berkembang bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat, dalam rangka lawatan kerja beliau ke Singapura.
Menurut Onn Hafiz, pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan Johor-Singapura dan menyelaras langkah seterusnya bagi memastikan JS-SEZ bergerak daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.
Katanya, antara perkara yang diberikan perhatian termasuk persediaan ke arah pelancaran Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ pada penghujung tahun ini.
“Selain itu, kita turut membincangkan usaha menarik pelabur strategik berimpak tinggi, memperkukuh rantaian bekalan serta penglibatan PKS dan memudahkan urusan perniagaan serta pergerakan barangan antara Johor dan Singapura,” katanya.
Onn Hafiz berkata, momentum pelaburan menerusi JS-SEZ setakat ini amat menggalakkan dengan sebanyak 1,436 pertanyaan pelaburan diterima menerusi Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) sejak Januari 2025.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 43 prospek pelaburan dirujuk oleh Singapore Economic Development Board (EDB) dan Enterprise Singapore.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan hubungan erat dan kerjasama baik antara Johor dan Singapura terus membuka lebih banyak ruang untuk kedua-dua pihak bergerak bersama dalam menjayakan JS-SEZ.
“Secara keseluruhan, pertemuan ini cukup positif dan pelbagai perkara dibincangkan secara terbuka.
“Semoga pertemuan ini menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama Johor-Singapura, seterusnya melancarkan pelaksanaan JS-SEZ selain memastikan segala perancangan yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan baik dan sistematik,” katanya.






