liza09/10/2026 - 17:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan berjumlah RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026 manakala pembangunan Nexus Sedenak berpotensi menarik pelaburan RM12 bilion serta mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan melancarkan Pelan Induk dan Blueprint JS-SEZ bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada akhir tahun ini bagi memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan.
Menurut beliau, kerajaan turut menaik taraf jalan dari persimpangan Sedenak serta menyediakan kemudahan yang menghubungkan kawasan itu dengan pelabuhan utama dan rangkaian perdagangan serantau bagi menyokong pembangunan industri.
“Kerajaan juga akan memperkasa lapan Zon Ekonomi Sempadan Khas susulan nilai perdagangan di koridor Bukit Kayu Hitam-Sadao yang mencecah RM27 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan NCT InnoSphere seluas 122 ekar sebagai hab kenderaan berat, kejuruteraan, penyelenggaraan dan logistik, selain pembangunan akses terus dari Pintu Timur Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam ke Inland Container Depot bagi mempercepat pergerakan kargo,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Indonesia bersetuju mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan Tebedu-Entikong, selain menaik taraf infrastruktur jalan di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan bagi melancarkan pergerakan perdagangan dua hala.
Sementara itu, PETRONAS terus memperkukuh kedudukan dalam industri tenaga global menerusi pengembangan pelaburan dalam projek LNG Canada Fasa 2, selain potensi pembangunan sumber petroleum di Suriname dan medan gas Galkynysh di Turkmenistan.
Anwar berkata, pemilikan penuh PETRONAS terhadap Kompleks Bersepadu Pengerang turut memperkukuh peranan aset itu sebagai hab strategik negara, khususnya dalam mengoptimumkan rantaian nilai produk bernilai tinggi dan memastikan keterjaminan bekalan bahan api ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan.
Pada masa sama, pembangunan Pengerang Biorefinery menerusi kerjasama dengan Enilive, syarikat tenaga Eni, dan Euglena akan memperluas pengeluaran bahan api rendah karbon termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF), diesel boleh diperbaharui (HVO) dan bio-nafta.
Penglibatan PETRONAS dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam projek ASEAN Power Grid pula dijangka memperkukuh keterjaminan tenaga serantau, selain membuka peluang ekonomi baharu menerusi peningkatan kerjasama dan keterhubungan tenaga antara negara ASEAN. - DagangNews.com






