johardy18/08/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - JS Solar Bhd memperoleh kontrak bernilai RM18.05 juta bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek solar serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di AEON Mall Seremban 2.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia rumusan tenaga solar itu berkata, kontrak berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, JS Solar Sdn Bhd (JSSB), oleh GSPARX Sdn Bhd.
Projek itu merangkumi sistem fotovolta bersepadu bangunan (BIPV) dan solar atas bumbung berkapasiti 4,652.5 kilowatt-puncak (kWp), selain BESS berkapasiti 3,856 kilowatt-jam (kWh).

GSPARX merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi TNB Retail Sdn Bhd.
Kontrak berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, bermula 19 Ogos 2026 hingga 19 Februari 2027.
Saham JS Solar susut setengah sen atau 2.6% kepada 18.5 sen pada penutupan dagangan Isnin, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM60.1 juta. - DagangNews.com





