hamden13/08/2026 - 13:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Gamuda Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd (DTI), memperoleh dua kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek hibrid solar dan bateri Ganymirra serta Majors Creek di Queensland, Australia, dengan nilai keseluruhan AUD569 juta (RM1.64 bilion).
Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, DTI telah memeterai dua kontrak EPC dengan Ganymirra Solar Power Station Pty Ltd dan Majors Creek Solar Power Station Pty Ltd masing-masing bagi melaksanakan kedua-dua projek tersebut.
Menurut kumpulan itu, Notis untuk Memulakan Kerja bagi projek berkenaan diterima pada 12 Ogos 2026, dengan kerja-kerja dijadualkan bermula pada separuh kedua 2026.
Kedua-dua kontrak itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama dua tahun sehingga Januari 2029.
“DT Infrastructure akan menyediakan perkhidmatan EPC bagi projek hibrid solar dan bateri Ganymirra dan Majors Creek, iaitu dua ladang solar bersebelahan yang dilaksanakan sebagai satu projek,” katanya.
Skop kerja merangkumi reka bentuk, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan ladang solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta infrastruktur berkaitan.
Selepas projek siap, DTI turut akan menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan bagi menyokong prestasi, kebolehpercayaan serta pengoptimuman jangka panjang kedua-dua aset.
Sumbang kepada pendapatan Gamuda
Gamuda berkata projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027, sehingga projek selesai.
Daripada nilai keseluruhan AUD569 juta itu, setiap kontrak bernilai AUD284.53 juta, bersamaan kira-kira RM822.3 juta berdasarkan kadar pertukaran AUD1 kepada RM2.89 pada 12 Ogos 2026.
Menurut Gamuda, projek tersebut turut mengukuhkan kedudukan DTI dalam sektor tenaga boleh diperbaharui Australia yang semakin berkembang.
Apabila beroperasi, kedua-dua projek dijangka menyumbang kepada peralihan tenaga boleh diperbaharui Queensland menerusi penjanaan tenaga yang disokong sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar.
Ia juga dijangka membantu mengukuhkan rangkaian elektrik negeri berkenaan serta mengurangkan pelepasan karbon.
Wujud peluang pekerjaan
Dari aspek ekonomi, projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan dan pembekal tempatan serta menjana manfaat ekonomi berterusan kepada wilayah Townsville.
DTI turut komited untuk bekerjasama dengan Masyarakat Bindal, selaku pemilik tradisional kawasan tempat projek dibangunkan, selain komuniti setempat sepanjang tempoh pelaksanaan.
Pada masa sama, langkah pengurusan alam sekitar menyeluruh akan dilaksanakan bagi melindungi biodiversiti, tanah dan sumber air serta meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
Bagaimanapun, Gamuda berkata projek berkenaan terdedah kepada risiko termasuk perubahan peraturan, turun naik kewangan, kegagalan teknikal, kesan alam sekitar, persaingan pasaran, bantahan komuniti, gangguan rantaian bekalan serta kejadian cuaca. - DagangNews.com






