TSR Capital menang kontrak RM16.9 juta bagi kerja tanah di Seremban

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TSR Capital menang kontrak RM16.9 juta bagi kerja tanah di Seremban Image from: TSR Capital menang kontrak RM16.9 juta bagi kerja tanah di Seremban hamden13/08/2026 - 17:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - TSR Capital Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, TSR Bina Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM16.9 juta daripada MIE Industrial Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja tanah di Seremban, Negeri Sembilan.

 

TSR Capital berkata, Surat Anugerah (LOA) yang diterima TSR Bina itu melibatkan kerja pembinaan dan penyiapan pembersihan tapak serta kerja tanah bagi sebahagian daripada pembangunan perindustrian di kawasan berkenaan.

 

Menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut mempunyai tempoh pelaksanaan selama empat bulan dan dijadualkan siap pada suku keempat 2026.

 

“Anugerah ini menambah kepada portfolio projek pembinaan sedia ada TSR Capital dan membuktikan keupayaan berterusan kumpulan dalam mendapatkan peluang pembinaan baharu dalam pasaran tempatan,” katanya.

 

Dijangka sumbang positif kepada pendapatan

TSR Capital berkata, kontrak berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif yang ketara kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Pada masa sama, kontrak itu memberi peluang kepada TSR Bina untuk memanfaatkan kepakaran pembinaan dan pengalaman pelaksanaan projek, khususnya dalam aktiviti penyediaan tapak serta kerja tanah.

 

“Pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan pembinaan TSR Bina dan mengukuhkan buku tempahan pembinaan kami.

 

“Kami kekal komited untuk melaksanakan projek dengan selamat, cekap dan dalam tempoh yang ditetapkan, di samping mengekalkan standard kualiti tinggi yang diharapkan pelanggan,” katanya.

 

Menurut TSR Capital, anugerah kontrak terbaharu itu selaras dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh perniagaan pembinaan serta mengembangkan portfolio projek.

 

Kumpulan akan terus memanfaatkan pengalaman dan keupayaannya dalam sektor pembinaan, khususnya kerja tanah, infrastruktur dan projek berkaitan bangunan, selain mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam menilai peluang baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved