Jual ikan hiasan asing tanpa kelulusan boleh didenda RM100,000

22 Sep 2026 • 1:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jual ikan hiasan asing tanpa kelulusan boleh didenda RM100,000
Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Marin, Angsana Teluk Bahang pada Selasa.

GEORGE TOWN - Pengusaha premis ikan hiasan yang menjual atau menyimpan spesies ikan asing yang dilarang tanpa kelulusan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk denda sehingga RM100,000 di bawah Akta Perikanan 1985.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menjual spesies ikan larangan termasuk menerusi platform dalam talian.

Menurutnya, DOF sebelum ini sudah mengadakan perbincangan awal dengan penyedia platform dalam talian berkaitan penjualan ikan hiasan namun pertemuan lanjut perlu diadakan berikutan masih terdapat spesies ikan larangan yang ditawarkan untuk jualan secara dalam talian.

“Kita akan berjumpa dengan pengendali platform-platform 'online' ini untuk memaklumkan bahawa bagi spesies larangan, ia memerlukan kelulusan khas daripada Jabatan Perikanan.

"Bukan sahaja spesies ikan larangan memerlukan perhatian malah ikan hidup yang dibawa masuk dari luar negara termasuk spesies yang dibenarkan, perlu disertakan sijil kesihatan," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Marin, Angsana Teluk Bahang di sini pada Selasa.

Adnan menambah, keperluan itu penting bagi memastikan ikan berkenaan bebas daripada penyakit yang berpotensi mengganggu ekosistem perairan negara.

“Kalau secara 'online' ini, mungkin tidak ada sijil kesihatan untuk mengesahkan bahawa spesies yang kita bawa masuk itu bebas daripada sebarang penyakit yang boleh mengganggu ekosistem kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DOF akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa di premis-premis ikan hiasan di seluruh negara.

Menurutnya, pemeriksaan itu bertujuan mengambil tindakan susulan selain memberi penerangan kepada pengusaha mengenai senarai spesies ikan larangan yang tidak dibenarkan disimpan atau dipelihara tanpa kelulusan jabatan.

“Kita akan teruskan tindakan penguatkuasaan ini di premis-premis ikan hiasan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan lebih keras termasuk denda dengan hukuman bergantung kepada peruntukan undang-undang yang terpakai.

Menyentuh mengenai pemegang permit pula, Adnan berkata, pemilik ikan berkenaan perlu melaporkan kepada DOF bagi membolehkan rekod dan keupayaan mengesan dilakukan.

Katanya, sekiranya ikan berkenaan mati, pemilik juga antara syaratnya perlu melaporkan perkara itu kepada DOF bagi membolehkan jabatan menjejaki pergerakan dan status ikan terbabit.

“Apabila kita ada kelulusan, kita akan ada keupayaan mengesan, kita boleh ada rekod untuk kita 'follow up' mana ikan ini pergi.

“Kalau mati, antara syaratnya, mereka perlu melaporkan kepada Jabatan Perikanan. Daripada situ kita senang membuat mengesan mana ikan itu pergi,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme berkenaan penting bagi mengelakkan ikan asing yang berpotensi menjadi invasif dilepaskan ke perairan awam.

“Kalau tidak laporkan kepada Jabatan Perikanan, kita tidak tahu dan akhirnya mungkin dilepaskan ke tempat awam,” katanya.

DOF sebelum ini menegaskan bahawa pelepasan spesies ikan asing invasif ke perairan umum boleh merosakkan ekosistem, menjejaskan biodiversiti tempatan serta mengancam populasi lebih 449 spesies ikan air tawar asli negara.

Spesies pemangsa atau asing yang agresif bersaing mendapatkan makanan dan habitat, sekali gus menyingkirkan ikan tempatan.

Kehadiran ikan asing merosakkan keseimbangan semula jadi perairan umum seperti sungai dan tasik selain berisiko membawa dan menyebarkan penyakit baharu kepada spesies akuatik asli.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved