Jualan Asia Brands merudum 14% kepada RM65.2 juta akibat permintaan pengguna yang masih lemah

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Asia Brands merudum 14% kepada RM65.2 juta akibat permintaan pengguna yang masih lemah Image from: Jualan Asia Brands merudum 14% kepada RM65.2 juta akibat permintaan pengguna yang masih lemah liza20/11/2026 - 15:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – Asia Brands Berhad mencatatkan kemerosotan hasil sebanyak 13.9% kepada RM65.24 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026 (6MFY2027) berbanding RM75.81 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya ekoran permintaan pengguna yang lemah dan pemberian diskaun lebih tinggi bagi menyokong jualan.

 

Dalam laporan kewangan suku kedua yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM883,000 bagi 6MFY2027 berbanding RM792,000 pada tempoh sama tahun lalu.

 

Kemerosotan hasil sebanyak RM10.57 juta itu berlaku meskipun kumpulan berjaya mengekalkan keuntungan kasar hampir tidak berubah pada RM39.21 juta berbanding RM39.82 juta sebelumnya.

 

Permintaan pengguna yang lemah jejas jualan

Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan susut 14.7% kepada RM32.32 juta berbanding RM37.91 juta dalam suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Menurut kumpulan itu, penurunan hasil terutama disebabkan permintaan pengguna yang lemah serta diskaun lebih tinggi diberikan bagi menyokong jumlah jualan.

 

Bagaimanapun, kerugian sebelum cukai bagi suku berkenaan mengecil kepada RM631,000 berbanding RM1.04 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Penambahbaikan itu disumbangkan margin keuntungan kasar yang lebih baik selain perbelanjaan jualan, pengedaran dan pentadbiran yang lebih rendah.

 

Kerugian meningkat bagi tempoh enam bulan

Namun, prestasi keseluruhan bagi enam bulan pertama FY2027 menunjukkan kerugian sebelum cukai meningkat kepada RM804,000 berbanding RM745,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kerugian selepas cukai turut meningkat kepada RM883,000 berbanding RM792,000, manakala perbelanjaan kewangan bagi tempoh itu berjumlah RM916,000 berbanding RM1 juta sebelumnya.

 

Jika dibandingkan dengan suku sebelumnya yang berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan bagi suku kedua susut 1.8% kepada RM32.3 juta daripada RM32.9 juta.

 

Kumpulan turut mencatatkan kerugian sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM631,000 berbanding RM200,000 pada suku sebelumnya, terutama disebabkan keuntungan kasar lebih rendah dan perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi.

 

Prospek operasi kekal mencabar

Mengulas prospek, lembaga pengarah menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar bagi baki tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Kumpulan berkata sentimen pengguna dijangka kekal lemah berikutan pelaksanaan pembaharuan fiskal yang berterusan serta tekanan kos, meskipun musim perayaan pada suku akan datang dijangka membantu menyokong permintaan.

 

Dalam usaha menghadapi keadaan itu, kumpulan akan meneruskan pembangunan platform perkhidmatan bersepadu merangkumi pengedaran, logistik, pendigitalan dan sokongan kawal selia bagi mempelbagaikan sumber hasil serta meningkatkan daya tahan operasi.

 

Keutamaan kumpulan turut merangkumi pengurusan kos secara berhemah, penambahbaikan pelaksanaan komersial, pengoptimuman pusing ganti inventori serta pelaburan terpilih dalam keupayaan digital dan operasi yang dijangka memberikan pulangan mampan.

 

Lembaga pengarah percaya inisiatif transformasi dan pendekatan operasi berdisiplin yang sedang dilaksanakan akan membantu meningkatkan kestabilan, keuntungan serta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved